HAZAMIN bertemu dengan kanak-kanak di kem pelarian Syria.
HAZAMIN bertemu dengan kanak-kanak di kem pelarian Syria.
Ridzuan Abdul Rahman

Ketika ini perhatian masyarakat dunia lebih terarah kepada pandemik Covid-19 yang dianggap satu wabak paling bahaya dan wajar dicegah habis-habisan.

Tumpuan berlebihan ini sekali gus menutup cerita kesukaran nasib saudara kita di beberapa kem pelarian di Syria yang dipinggirkan dan seakan dilupakan.

Bertitik tolak daripada situasi itulah yang mendorong Muhammad Hazamin Harun, anggota kumpulan Inteam menyertai Misi Kemanusiaan Musim Sejuk di Syria bagi menghulurkan bantuan.

Hazamin bersama isterinya kini berada di utara Syria bersama delegasi Pertubuhan Peduli Insan Malaysia sejak 22 Januari lalu.

HAZAMIN dan isteri menyerahkansumbangan kepada seorang wanita.
HAZAMIN dan isteri menyerahkansumbangan kepada seorang wanita.

Hazamin yang bergerak masuk melalui Turki kini berada di daerah A'zaz di utara Syria berhampiran sempadan Turki.

"Alhamdulillah, keadaan kami di sini baik-baik sahaja. Urusan mengagihkan barangan keperluan musim sejuk seperti bahan bakar, bahan makanan asas, alat pemanas dan baju sejuk berjalan dengan lancar.

"Lima lori kontena berisi muatan terbabit sudah pun diagihkan kepada sasaran puluhan ribu penghuni kem pelarian Syria di sini untuk kegunaan musim sejuk ini.

"Hati saya menjadi sangat sayu dan sebak apabila melihat anak-anak kecil kesejukan di khemah mereka di sini. Senyuman terukir di wajah mereka apabila kami memakaikan mereka dengan baju sejuk, topi dan kasut yang menghangatkan mereka hasil sumbangan rakyat Malaysia yang sangat prihatin," katanya.

Menurutnya, Misi Kemanusiaan Musim Sejuk di Syria kelolaan Peduli Insan ini menyasarkan kutipan dana RM3 juta bagi memastikan hampir 80,000 pelarian mendapat bantuan walaupun sebenarnya terdapat lebih dari 400,000 pelarian yang tinggal di puluhan kawasan perkhemahan di utara Syria.

MERASAI kesukaran dan kesusahan hidup penghuni di Syria.
MERASAI kesukaran dan kesusahan hidup penghuni di Syria.

"Ini kali pertama saya menyertai misi sebegini dan sejujurnya saya menangis melihat keadaan sekolah anak-anak Syria di khemah pelarian ini yang berlantaikan tanah dan lumpur serta berdindingkan khemah sahaja.

"Anak-anak kita di Malaysia harus bersyukur kerana masih mampu belajar dengan selesa walaupun secara dalam talian," katanya.

Hazamin berkata, banyak pengalaman baharu yang diperolehnya dan dia akan terus membantu Peduli Insan mencari dana biarpun sudah pulang ke tanah air.

"Misi dan kutipan dana ini akan diteruskan lagi sehingga 28 Februari ini dan diuruskan oleh su

karelawan di Syria walaupun delegasi mereka akan pulang ke tanah air pada minggu hadapan.

"Diharapkan semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa dapat bekerjasama membantu mereka yang amat memerlukan perhatian dan bantuan," katanya.

Maklumat lanjut mengenai sumbangan ini boleh didapati dari laman sesawang www.peduliinsan.org.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 6:01 AM