NUR Kamilah (tengah) dan keluarga teruja dengan pengalaman mengagau ikan. FOTO Asyraf Hamzah
NUR Kamilah (tengah) dan keluarga teruja dengan pengalaman mengagau ikan. FOTO Asyraf Hamzah
Nurul Husna Mahmud


JERITAN antara geli dan teruja silih berganti antara reaksi jujur dapat dilihat pengunjung Taman Agroteknologi Institut Penyelidikan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Tanjong Karang, Selangor ketika aktiviti menggagau ikan dalam petak sawah.

Bukan mudah, permainan 'budak kampung' itu iaitu menangkap ikan keli yang memiliki tekstur licin dan berlendir dalam tanah selut dengan tangan kosong memerlukan kemahiran serta kecekapan.

Aktiviti seperti ini jarang lagi dilakukan generasi hari ini apatah lagi anak bandar yang banyak mengamalkan cara hidup moden.

Kesempatan penulis mengikuti rombongan MyFundAction menerusi program Jom Masuk Kampung memberi peluang meneroka tarikan yang ada di taman pertanian itu.

PENGALAMAN menanam padi juga boleh dirasai pengunjung.  FOTO Asyraf Hamzah
PENGALAMAN menanam padi juga boleh dirasai pengunjung. FOTO Asyraf Hamzah

Pengarah program, Sofea Adlina Mohd Khair berkata, ahli rombongannya yang terdiri daripada lebih 20 peserta dalam dan luar negara mengakui bermain selut, menanam padi dan mendayung sampai ke tali air adalah pengalaman pertama mereka.

"Antara aktiviti boleh dilakukan di sini adalah melawat pameran beras termasuk menyaksikan proses padi menjadi beras.

"Aktiviti luar pula kami adalah melakukan kegiatan orang kampung di sini seperti menanam padi, mendayung sampan, mengagau ikan dan memancing.

"Rata-ratanya teruja kerana ia adalah pengalaman pertama peserta dan ada antaranya langsung tidak pernah mengetahui ada sawah padi pun di Selangor," katanya.

MENYUSURI tali air dengan sampan. FOTO Asyraf Hamzah
MENYUSURI tali air dengan sampan. FOTO Asyraf Hamzah

Tambah Sofea Adlina, pendedahan kepada aktiviti itu sedikit sebanyak membantu peserta merasai keseronokan tinggal di kampung.

Bagi peserta dari Palestin, Abdalmalek Ismail Aburabee, 32, aktiviti kampung yang dilakukan itu mengimbau kenangannya ketika zaman kanak-kanak.

"Aktiviti seperti menangkap ikan dan menanam padi mengimbau kenangan saya ketika di kampung halaman.

"Saya membandingkan cara di kampung saya dan di sini mempunyai adalah berbeza meskipun aktiviti sama. Malah, saya dapat pelajari budaya atau cara tempatan menanam padi dan menangkap ikan.

"Bagi saya ia budaya unik selain dapat menyelami cara hidup yang sederhana dan berbeza dengan penduduk tempatan yang tinggal di bandar," katanya.

Selain rombongan peserta itu, Taman Agroteknologi (Mardi) Tanjong Karang berkenaan turut dikunjungi orang luar yang mahukan pengalaman percutian yang unik.

Pengunjung dari Ampang, Selangor, Nur Kamilah Zaini, 34, menyifatkan percutian ke destinasi sedemikian dapat mencipta memori manis bersama keluarga selain memberi pengalaman bermakna.

PESERTA program Jom Masuk Kampung berpeluang melihat pelbagai jenis beras di galeri pameran. FOTO Asyraf Hamzah
PESERTA program Jom Masuk Kampung berpeluang melihat pelbagai jenis beras di galeri pameran. FOTO Asyraf Hamzah

"Saya dan suami, Abdul Hadi Mohd Nazir sentiasa mencari tempat percutian yang unik untuk memberi pendedahan dan pengalaman baru kepada dua anak kami, Asmaa Abdul Hadi dan Anas Abdul Hadi.

"Sebelum ini kami bawa mereka ke dusun dan kali ini pengalaman di sawah padi pula. Mereka sangat seronok apabila dapat melakukan aktiviti menanam padi.

"Cuma slot menangkap ikan keli di selut, anak takut pada mulanya maklumlah tangkap guna tangan.

"Saya sendiri pun rasa benda yang sama dan ia hilang apabila lihat pengunjung lain teruja setiap kali berhasil menangkap ikan keli," katanya.

Tidak hanya keseronokan, Nur Kamilah turut menyifatkan ia pembelajaran lebih baik untuk anak-anaknya.

"Saya memang sasarkan kepada anak-anak untuk mempunyai pengalaman baharu dalam percutian itu.

"Kiranya bukan setakat luangkan masa bersama keluarga, malah saya mahu anak-anak belajar sesuatu.

"Hasil daripada percutian di taman agroteknologi itu, saya perasan anak saya mula mengagumi pekerjaan petani dan penangkap ikan. Bukan kerja di pejabat sahaja yang seronok," katanya.

Selain taman agro itu, pengunjung juga boleh menikmati suasana kampung tenang dan hamparan sawah dengan berbasikal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 8:05 AM