Aizat Sharif


Kangar: Berlumang lumpur serta selut sehingga paras pinggang, itu bukanlah penghalang kepada pengunjung K3 Karnival Keleboq Kangar 2022 untuk bersama-sama 'berkubang' memenuhi 'keleboq' (selut atau lumpur) menangkap ikan dan itik dalam kawasan bendang di Taman Muda Sepakat di Behor Lateh, di sini hari ini.

Tanpa mempedulikan kotoran di baju dan seluar, pelbagai golongan usia dari kanak-kanak hingga warga emas bersama-sama 'menyelongkar' bendang berkenaan untuk mencari ikan seperti sepat dan puyu selain mengejar itik yang dilepaskan dalam sawah padi berkenaan.

Itu sebahagian daripada aktiviti yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Anak Jati Perlis (Jati) dengan kerjasama Pejabat Dr Fathul Bari.

Pengerusi Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, karnival itu tidak hanya terhad kepada acara gagau ikan dan tangkap itik dalam bendang sahaja malah aktiviti itu turut dilengkapkan dengan pertandingan sukan seperti acara tengalong (baling) bola dan tarik tali dalam bendang.

Katanya, penganjuran karnival berkenaan juga berjaya menarik hampir 2,000 pengunjung dari sekitar daerah ini.

Sementara itu, seorang peserta, Muhamad Muzafar Shah Daud, 40, melihat penganjuran karnival ini adalah perlu bagi memastikan budaya sukan rakyat berasaskan pertanian dalam kalangan masyarakat ini tidak luput ditelan zaman.

"Harapnya karnival ini dapat diteruskan di masa hadapan," katanya.

Karnival berkenaan turut dihadiri Ahli Dewan Negara Senator Seruandi Saad.

PENGUNJUNG K3 Karnival Keleboq Kangar 2022 memenuhi ‘keleboq’ menangkap ikan dan itik. FOTO Aizat Sharif
PENGUNJUNG K3 Karnival Keleboq Kangar 2022 memenuhi ‘keleboq’ menangkap ikan dan itik. FOTO Aizat Sharif

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 11:37 PM