Roselan Ab Malek


“WALAU badan penuh selut, hanya nampak (bersih) mata sahaja tapi saya seronok dan takkan lupakan pengalaman ini,” kata Muhamad Naqib Najmuddin Zainol, 12.

Dia antara 117 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut yang menyertai Kem Kepimpinan Pengawas Sekolah dan Pengawas Pusat Sumber Sekolah di Kampung Gintong, Jerantut, hari ini.

Antara program dalam kem itu adalah menangkap ikan dalam sawah padi, mandi sungai dan menikmati hidangan kampung yang disediakan.

Muhamad Naqib berkata, pada mulanya dia takut untuk menangkap ikan dengan tangan, namun mengakui aktiviti itu menyeronokkan apabila dilakukan bersama rakan.

SEBAHAGIAN peserta kursus menangkap ikan dalam sawah. FOTO Roselan Ab Malek
SEBAHAGIAN peserta kursus menangkap ikan dalam sawah. FOTO Roselan Ab Malek

Sependapat dengannya, Izyan Inani Roslan, 12, berkata, dia bangun awal hari ini semata-mata mahu tiba tepat pada masanya untuk ke program berkenaan.

“Seronok dengan suasana yang riuh rendah serta gelak tawa rakan menangkap ikan walaupun ia sukar dan kami lebih banyak berkubang daripada mendapat hasil sepatutnya,” katanya.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Jerantut, Ahmad Rezuan Mohamed Udin berkata, program itu sengaja diadakan di kampung untuk murid menikmati suasana desa.

“Selain menangkap ikan dalam sawah, mereka turut dibenar mandi dalam tali air dan makan ikan yang ditangkap.

“Ini untuk mengeratkan hubungan antara mereka dan secara tidak langsung mewujudkan semangat kerjasama berpasukan ketika melakukan aktiviti itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 5:13 PM