PELBAGAI tapak tamadun manusia terdahulu jelas dapat dilihat.
PELBAGAI tapak tamadun manusia terdahulu jelas dapat dilihat.
Hafiz Ithnin

Melalui Jalan Pintasan Semeling, Bedong di Kedah, kiri dan kanannya hanya kelihatan barisan pokok kelapa sawit membarisi sepanjang jalan raya itu yang agak sibuk dengan kenderaan.

Di sebalik pembangunan jalan raya itu, tanpa disangka di situ lokasi tamadun terawal dan tertua di Asia Tenggara hasil kajian pengkaji arkeologi profesional tempatan serta antarabangsa.

Menjadi satu daripada destinasi popular pelancong ke Kedah untuk mengetahui sejarah Kerajaan Kedah Tua, nama Kompleks Arkeologi Sungai Batu bukan sesuatu yang asing.

Lebih membanggakan ia bukan saja destinasi pelancongan arkeologi terkemuka di Malaysia, malah menjadi rujukan penyelidik dalam bidang itu di peringkat antarabangsa.

Penulis yang kali pertama mengunjungi lokasi berkenaan kagum dengan bingkisan sejarah tamadun kerajaan lama yang wujud di Malaysia dan diperakui di peringkat antarabangsa sebagai tertua di rantau ini.

Kompleks arkeologi itu yang terbahagi dua bahagian monumen merangkumi tapak ritual dan pelabuhan mempunyai pelbagai cerita menarik untuk dikongsikan dengan pengunjung.

Di tapak ritual yang boleh dilihat dengan jelas hasil penemuannya selepas selesai pengkaji arkeologi menjalankan ekskavasi dalam tempoh Februari hingga Jun 2009, membuktikan lokasi berkenaan mula wujud sebelum abad keenam sebelum Masihi.

PENGUNJUNG perlu berjalan di laluan khas untuk melihat tapak arkeologi.
PENGUNJUNG perlu berjalan di laluan khas untuk melihat tapak arkeologi.

Apatah lagi di tapak monumen itu, masih terdapat kerja ekskavasi yang dilakukan penyelidik untuk merungkai sejarah di kawasan sekitarnya terutama sebagai destinasi perdagangan yang sibuk satu ketika dulu.

Sememangnya kerja eskavasi itu bukan sesuatu yang mudah kerana ia perlu dilakukan dengan teliti. Setiap batu disapu menggunakan berus khas bagi memastikan artifak tidak rosak.

Penulis dapat melihat mereka yang melakukan ekskavasi mempunyai tahap kesabaran tinggi kerana berada di bawah kanvas pada cuaca panas bukan kerja mudah.

Apatah lagi, perlu berhati-hati ketika berjalan di atas tapak tinggalan sejarah yang dikenal pasti supaya tidak terpijak batu yang mempunyai potensi menjadi salah satu struktur binaan silam.

PENUNTUT PhD Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia, Siti Siha Mohamad menunjukkan proses etnoarkeologi untuk bata.
PENUNTUT PhD Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia, Siti Siha Mohamad menunjukkan proses etnoarkeologi untuk bata.

Melawat bahagian kedua kompleks berkenaan di seberang jalannya pula, ia adalah lokasi yang menceritakan sejarah terawal tamadun manusia dalam industri peleburan besi.

Di situ kelihatan pemandu pelancong arkeologi dalam kalangan penuntut PhD bidang berkenaan menyediakan beberapa bahan untuk demonstrasi membuat bata dijumpai di kawasan berkenaan yang dipercayai tidak diimport atau dikenali sebagai proses etnoarkeologi.

Pada bahagian lain pula, kelihatan beberapa kakitangan mewujudkan tempat proses mencairkan besi atau relau. Ia bagi menunjukkan bahawa lokasi itu turut dijumpai beberapa pecahan relau lama.

Ternyata berada di tapak arkeologi di kompleks berkenaan sesuatu yang menyeronokkan kerana menambah pengetahuan penulis yang bukan daripada latar belakang arkeologi.

CONTOH relau yang digunakan ketika zaman terawal industri peleburan besi.
CONTOH relau yang digunakan ketika zaman terawal industri peleburan besi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 10:46 AM