PENGUNJUNG terpesona melihat keunikan batuan di dalam Gua Bewah. FOTO Aswadi Alias.
PENGUNJUNG terpesona melihat keunikan batuan di dalam Gua Bewah. FOTO Aswadi Alias.
Hafiz Ithnin


DI sebalik populariti Tasik Kenyir, Terengganu sebagai destinasi percutian eko, sebenarnya tersimpan pelbagai khazanah sejarah ketamadunan manusia.

Bagi mereka yang mengambil pakej mengembara di Tasik Kenyir menggunakan rumah bot, melawat Gua Bewah terletak di Bukit Bewah adalah lokasi dimaksudkan.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan menyertai pengembaraan di Tasik Kenyir dan berpeluang mengunjungi lokasi berkenaan. Sempat juga bertemu dengan pemandu pelancong yang terbabit sama dalam kerja ekskavasi di Gua Bewah yang sekali gus dapat menerangkan secara terperinci kisah lokasi berkenaan.

Mohd Khairul Abu Bakar berkata, Gua Bewah adalah gua terbesar di Tasik Kenyir dengan pintu masuk melengkung 40 meter di atas paras air yang mengambil masa sekitar dua jam menaiki bot dari Jeti Pengkalan Gawi.

BENTUK batu yang kelihatan seperti orang sedang menunaikan solat.
BENTUK batu yang kelihatan seperti orang sedang menunaikan solat.

Beliau berkata, pada sekitar 1970-an ahli arkeologi menjumpai penemuan yang menarik di dalam gua berkenaan iaitu rangka seorang manusia prasejarah dan artifak primitif yang digunakan ketika Zaman Batu seperti periuk, kapak dan alatan kapur.

“Saya terbabit secara langsung dalam kerja ekskavasi di Gua Bewah pada 2009 dan ketika itu banyak artifak yang kami temui termasuk rangka manusia berusia 16,000 tahun yang dikenali sebagai ‘Bewah Man’. Ia juga dipercayai sebagai rangka tertua pernah ditemui di Malaysia.

“Jika pelancong datang ke sini, maklumat berkenaan artifak dan Bewah Man boleh diketahui dengan lebih jelas.

“Kami sudah bangunkan pusat maklumat yang memudahkan orang ramai untuk mengetahui cerita arkeologi di Gua Bewah,” katanya yang pernah dinobatkan sebagai Pemandu Pelancong Alam Semula jadi Terbaik Malaysia 2012/2013.

Jika anda berkesempatan mengunjungi destinasi pelancongan ini, menerokai isi perut Gua Bewah sudah menjadi kewajipan kerana di dalam gua berkenaan terdapat pelbagai jenis batuan yang terbentuk menerusi proses alam semula jadi.

BATU kristal di dalam Gua Bewah yang masih berkilau.
BATU kristal di dalam Gua Bewah yang masih berkilau.

Malah anda juga dapat melihat beberapa jenis batuan yang masih berkilat dan ‘hidup’ ketika berjalan di atas jambatan di dalam gua berkenaan. Tidak ketinggalan juga terdapat batuan kristal yang boleh dilihat dari jauh.

Mohd Khairul berkata, selain merungkai kesan peninggalan dari zaman Paleolitik dan Mesolitik serta misteri legenda Bewah, pengunjung juga berpeluang melihat aneka rupa stalaktit dan stalagmit yang terbentuk secara semula jadi.

Katanya, terowong di dalam gua berkenaan menjadikan pengembaraan lebih menarik kerana pengunjung dapat melihat pelbagai jenis kelawar dan serangga yang menghuni di dalamnya.

“Ada pelbagai spesies haiwan yang tinggal di dalam gua seperti kelawar dan labah-labah yang mempunyai saiz agak besar.

“Selain itu, di dalam Gua Bewah juga terdapat ketam. Jika anda bernasib baik dapat melihatnya di celah batu. Jumlahnya tidak terlalu banyak tetapi agak unik kerana hidupan air itu memilih untuk tinggal di dalam gua ini,” katanya.

Selain serangga dan kelawar, penulis juga teruja melihat sejenis lumut yang hidup di atas batu. Uniknya warna hijaunya begitu menonjol apabila berada di kawasan gelap atau dikenali lumut flouresens.

Ditemani Mohd Khairul menerokai gua itu, penulis juga berpeluang melihat sendiri bentuk unik salah satu pintu lubang yang kelihatan seperti orang sedang menunaikan solat dalam keadaan duduk antara dua sujud.

KHAIRUL menunjukkan pelbagai formasi batuan di Gua Bewah yang unik.
KHAIRUL menunjukkan pelbagai formasi batuan di Gua Bewah yang unik.

Mohd Khairul berkata, sebenarnya terdapat banyak lagi misteri Gua Bewah yang masih belum dapat dirungkai sehingga kini dan beliau juga sentiasa menjalankan kerja mencari pintu gua yang tersembunyi di dalamnya.

“Selain Bewah, di sini juga terdapat gua lain iaitu Gua Taat yang dahulunya meliputi tiga gua kecil dan paling kecil ialah Gua Tok Bidan yang sudah lama tenggelam selepas siapnya empangan Tasik Kenyir. Apabila paras air meningkat, Gua Taat juga akan tenggelam dan tidak boleh dilawati.

“Tempat ini juga popular dengan kepelbagaian bentuk dan saiz stalaktit dan stalagmit yang kelihatan seperti marmar terukir indah selain diibaratkan seperti galeri seni kerana batuannya terukir penuh kesenian alam semula jadi,” katanya.

PELBAGAI batu yang dikatakan menjadi peralatan manusia prasejarah yang pernah menghuni di Gua Bewah.
PELBAGAI batu yang dikatakan menjadi peralatan manusia prasejarah yang pernah menghuni di Gua Bewah.

INFO

•Pelancongan arkeologi adalah aktiviti melawat kawasan tinggalan tamadun manusia terdahulu hasil kajian daripada pakar arkeologi.

• Sesetengah tapak pelancongan arkeologi membenarkan pelancongan untuk menyertai aktiviti ekskavasi.

•Tasik Kenyir adalah tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara.

•Terletak di tengah-tengah Terengganu dan merentasi sehingga ke barat Kelantan dan Selatan Pahang.

•Berkeluasan 209,199 hektar.

•Di kelilingi hutan hujan tropika tertua di dunia.

•Terdapat lebih daripada 340 buah pulau yang asalnya puncak bukit dan gunung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 11:26 AM