USAHA mengibarkan bendera putih terbukti berkesan untuk menjadi isyarat  meminta bantuan dalam suasana sukar  pandemik.
USAHA mengibarkan bendera putih terbukti berkesan untuk menjadi isyarat meminta bantuan dalam suasana sukar pandemik.
Norhayati Nordin

Semalam, Malaysia meraikan Hari Kemerdekaan ke-64. Selang setahun, berganti lagi kepemimpinan negara dengan kini Malaysia diterajui Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Apapun, hampir dua tahun juga Malaysia dibelenggu pandemik Covid-19 yang masih belum menunjukkan tanda kita akan menang, namun harapan positif tetap tersemat di hati semua rakyat.

Kini, menjadi impian kita semua semoga penularan wabak ini dapat dibendung segera. Paling utama ialah kita dapat menjalani kehidupan yang  baik semula tanpa ada kekangan pergerakan.

Bagaimanapun, ramai di antara kita pastinya menunggu bila merentas negeri dibenarkan kerana mahu pulang ke kampung berikutan sambutan Program Vaksinasi Kebangsaan mendapat sambutan baik. Malah, ramai juga sudah mengambil vaksin sebagai ikhtiar.

Namun, berbalik pada kepemimpinan negara membabitkan dua Perdana Menteri dalam selang tahun berbeza, ia nyata satu sejarah baharu buat Malaysia.

Bagaimanapun, setiap pemimpin pasti ada misi dan visi mereka untuk kestabilan ekonomi serta keharmonian rakyat dan  negara.

Apapun, mengambil kira tema Malaysia Prihatin untuk sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini, rasanya kebanyakan rakyat Malaysia memang sudah bersikap saling bantu-membantu dan berganding bahu sepanjang pandemik ini menyerang negara kita.

Masih terbayang kebersamaan rakyat Malaysia sekitar beberapa bulan lalu menerusi tindakan 'kibar bendera putih' yang terpaksa dibuat segelintir masyarakat yang berhadapan dengan kesempitan hidup akibat terjejas pendapatan kerana Covid-19.

Tanpa hanya menunggu tindakan kerajaan, rata-rata rakyat Malaysia tidak kira agama dan bangsa berganding bahu membuat solusi menghulur bantuan segera terutama bagi menyediakan keperluan makanan buat mereka yang memerlukan.

Inisiatif seperti mengumpul dana secara menjual koleksi barangan peribadi yang dibuat segelintir penggiat seni dan selebriti di media sosial juga boleh dianggap berjaya kerana melalui sumbangan diterima mereka, bantuan terus dihulur kepada yang susah.

Selain itu, diadakan juga 'bank makanan' di tempat-tempat tertentu bagi membolehkan sesiapa saja yang memerlukan barangan keperluan harian seperti beras, gula, susu, minyak, telur, sardin, mi segera dan bermacam lagi boleh mengambilnya secara percuma.

Jadi, sebagaimana permintaan Perdana Menteri  untuk kita semua prihatin sudah pasti memang dilakukan oleh rakyat Malaysia kerana sikap ini adalah salah satu kekuatan warga Malaysia sejak dari dulu lagi.

Prihatin adalah satu sifat yang sentiasa ada dalam diri setiap masyarakat Malaysia. Cuma, tiada yang sempurna kerana di sebalik ramainya orang prihatin itu, tentu ada segelintir yang sambil lewa dan enggan peduli.

Apapun, sebagai rakyat Malaysia saya amat bangga dengan sikap masyarakat negara ini yang membudayakan hidup saling bantu membantu dan prihatin. Selama empat dekad membesar di tanah air ini, Malaysia tetap terbaik.

Walaupun masih ada kekurangan di sana sini, namun ia lumrah kerana tiada yang sempurna pada manusia. Apa yang harus dibuat ialah belajar bersyukur dengan semua yang kita miliki sekarang dan pertahankannya.

Mengimbas juga pada sejarah kemerdekaan Malaysia, ia bukan mudah untuk dicapai. Banyak pengorbanan dibuat oleh pejuang tanah air terdahulu untuk membebaskan negara ini daripada penjajah.

Namun, sejarah lama ini ramai yang kurang gemar mengambil tahu terutama dalam kalangan anak muda. Apapun, percayalah bahawa bumi Malaysia ini sangat hebat kerana ukhuwah perpaduannya yang kukuh dan erat.

Di Malaysia, pelbagai bangsa sudah dilatih untuk saling menghormati. Malah, diberi kebebasan juga untuk belajar menguasai bahasa kaum lain selain menikmati pelbagai hidangan dan budaya unik setiap kaum.

Warna-warni dalam masyarakat di Malaysia ini sangat ceria. Bahkan, ia tiada di negara lain kecuali di Malaysia saja biarpun untuk mempertahankannya tidak mudah. Namun, semua rakyat Malaysia tetap mahukan kehidupan yang harmoni dan toleransi.

Teruskan menjaga prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, selain kekal duduk di rumah jika tiada urusan penting di luar. Justeru, untuk itu 'prihatin' dulu pada keselamatan kita sendiri untuk bersama menyelamatkan orang lain di sekeliling.

Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 7:00 AM