AHMAD Idham (dari kiri), JUREY dan ABDUL Rani.
AHMAD Idham (dari kiri), JUREY dan ABDUL Rani.
Oleh Norhayati Nordin


Berbaki lebih sebulan lagi, 2022 bakal melabuh tirai dan datang pula 2023 yang khabarnya lebih mencabar dalam kehidupan terutama membabitkan ramalan berlakunya kegawatan ekonomi dunia.

Malah, pelbagai video berkaitan persediaan untuk kita semua menghadapi 'kejutan 2023' sudah banyak dikongsikan di YouTube oleh pembuat-pembuat content.

Apapun, yang menjadi perhatian rakyat Malaysia sekarang pastinya bahang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang akan berlangsung pada 19 November ini.

Malah, dengar-dengarnya ramai juga penggiat seni yang berminat menjadi calon untuk pilihan raya kali ini, sekali gus bertukar portfolio menjadi ahli politik. Ia hak masing-masing dan setiap orang berpeluang.

Lagipun, penggiat seni juga ada pengaruhnya dalam masyarakat dan mana tahu dengan hadirnya 'wakil rakyat selebriti' di arena politik dapat membantu memartabatkan lagi industri hiburan ke arah yang lebih baik.

Mengimbau kepada pilihan raya sebelum ini, beberapa penggiat seni pernah bertanding mewakili Parlimen seperti Datuk Aishah Ariffin di PRU-13 pada 2013 lalu untuk Parlimen Jempol, Negeri Sembilan, Dayangku Intan juga di PRU-13 (Parlimen Pengerang, Johor) dan Herman Tino (PRU-13- Parlimen Tanjong Karang, Selagor).

Malah, pada PRU-14 pada 2018 pula amat menarik perhatian ramai apabila selebriti sensasi, Azwan Ali muncul bertanding atas tiket calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Antarabangsa.

Menariknya pembabitan Azwan pada tahun itu, yang menjadi perhatian ramai ialah logo digunakan iaitu gajah dan dia juga berbesar hati menyumbangkan rendang percuma ketika berkempen. Malah pada PRU-15 ini, Azwan mahu bertanding untuk Parlimen Gombak pula.

Tidak hanya Azwan, ada beberapa lagi nama penggiat seni difahamkan turut menjadi calon bertanding di PRU-15 iaitu Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri dan Abdul Rani Kulup di Parlimen Port Dickson, manakala Datuk Jurey Latiff Rosli pula di Parlimen Lenggong, Perak.

Bagaimanapun, persoalannya apakah calon bertanding yang lebih dulu membina nama di lapangan hiburan ini akan mendapat sokongan positif di kawasan mereka ingin berbakti? Sejauh mana masyarakat setempat yakin untuk memberi peluang kepemimpinan kepada mereka?

Setakat ini pun, penggiat seni yang sudah dianggap berjaya dalam karier politiknya sudah tentu Datuk Dira Abu Zahar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, di negeri kelahiran beliau, Melaka.

Namun, Dira sememangnya sudah lahir dalam keluarga yang menceburi politik kerana bapanya adalah bekas Ketua Menteri Melaka kelapan, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Ithnin cukup disenangi.

Apapun, bahang hari penamaan calon, Sabtu ini ini pastinya sangat dirasai. Semoga semua penggiat seni yang menjadi calon di PRU-15 nanti dapat menjalani proses berkempen mereka dengan baik.

Sejujurnya, saya melihat pembabitan penggiat seni dalam kancah politik di Malaysia tidak seperti di negara luar iaitu India dan Indonesia, yang mana ramai selebritinya sudah menjadi Ahli Parlimen serta wakil rakyat - Saya menyifatkan pembabitan serius segelintir penggiat seni dalam politik masih baharu di Malaysia meskipun peluang itu ada.

Namun, yang pasti mereka ini sudah ada hala tuju politik dalam berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Saya juga melihat kesungguhan ditunjukkan beberapa penggiat seni kita seperti Datuk Hans Isaac, Datuk Afdlin Shauki, Altimet dan Shahrol Shiro yang yakin mampu menjadi pemimpin sekiranya dipilih.

Apatah lagi, menjadi hasrat besar warga seni yang ingin ada seorang senator boleh dilantik dalam kalangan mereka untuk masuk ke Parlimen bagi memberi atau menyampaikan suara daripada golongan seni, suatu hari nanti.

Sesungguhnya industri seni juga membawa impak besar sebagai salah satu penyumbang ekonomi negara. Sama ada dalam muzik, penghasilan drama, filem mahu pun program TV, tetap ada permintaan dan sambutan di sebaliknya.

Menerusi industri seni juga, Malaysia kini semakin dikenali di peringkat antarabangsa selepas fenomena dicetus filem epik, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan baru-baru ini.

Sebagai rakyat Malaysia, sudah tiba masa untuk kita semua melaksanakan tanggungjawab memilih pemimpin yang layak terus memimpin dan memajukan negara dengan cemerlang.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 7:00 AM