MILA gembira dapat bantu mangsa banjir di Puchong pada Disember lalu.
MILA gembira dapat bantu mangsa banjir di Puchong pada Disember lalu.
Norhayati Nordin


KEJADIAN banjir besar yang melanda beberapa kawasan di Selangor pada 18 Disember tahun lalu, nyata meninggalkan kesan mendalam pada sebilangan rakyat di negara ini. Apatah lagi, ia fenomena tidak diduga.

Malah, ramai yang terjejas akibat banjir itu apabila kebanyakan kediaman dan harta benda rosak dalam sekelip mata. Ditambah, kejadian itu disifatkan berlaku sangat pantas.

Apapun, sikap prihatin dan saling membantu sesama rakyat di negara ini amat dipuji. Umpama pepatah, cubit paha kanan paha kiri terasa juga. Begitu juga perumpamaan, berat sama dipikul ringan sama dijinjing.

Justeru, turut tak lepas tangan turun padang menghulur sumbangan dan bantuan kepada penduduk setempat ketika banjr itu ialah penyanyi juga ahli perniagaan berjaya, Mila Jirin. Ibu seorang anak ini antara selebriti yang pantas bertindak.

Berkongsi pengalamannya, Mila, 34, berkata selama lebih 10 tahun dia dan ahli keluarga menetap di Puchong, kejadian banjir besar yang berlaku itu adalah kali pertama dilalui mereka. Katanya, jika diimbas semula ia memang mengejutkan.

"Saya tak pernah menduga kawasan Puchong akan terkesan seteruk itu dan banyak tempat ditelenggami air banjir. Malah, pada kalangan pekerja saya di BizmiIla pun ada yang kediaman mereka dan keluarga rosak dibadai banjir berkenaan," katanya.

Mila yang dibantu suaminya, Isz Mustapha, bapa, adik ipar dan pasukan pekerjanya ketika itu berkesempatan menghantar bantuan barangan keperluan di enam buah pusat penempatan sementara (PPS) yang dibuka di Puchong dan USJ.

"Saya kuatkan semangat tampil membantu ketika itu kerana berasa simpati dengan kesusahan yang menimpa mangsa banjir terutama di kalangan warga emas, kanak-kanak, wanita, bayi dan ibu hamil.

"Betapa sedih hati saya apabila mengingatnya semula. Dalam sekelip mata saja ujian besar itu Allah turunkan dan ramai di antara kita harus reda serta akur dengan dugaan tak semena-mena menimpa itu," katanya.

Apapun, Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin berkata yang pasti, dia berasa amat puas dapat membalas jasa warga Puchong yang selama ini banyak memberi sokongan serta membantu perniagaan dibinanya.

Katanya, dia juga sangat berbangga dengan sikap perpaduan pelbagai kaum di Malaysia yang mana didapatinya semua bangsa walau berlainan agama bersatu membantu tampil menghulur bantuan dan sumbangan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 6:58 AM