Pengarah Filem, Mamat Khalid.
Pengarah Filem, Mamat Khalid.
minda

Apabila menonton drama Kampung Pisang Bersiri-siri arahan Mamat Khalid, pecah perut ketawa sampai terkeluar air mata, terhibur sangat rasanya.

Cerita berkisar mengenai sebuah kampung yang sering kali didatangi kisah hantu dan digarap dengan nilai santai dan jenaka tidak pernah membosankan.

Bukan kerana penulis meminati semua karya arahan Mamat Khalid, tapi jenaka dalam suasana santai akan membuatkan stres seharian akibat kerja akan hilang dengan tawa sendiri dan kadang-kadang terasa mengalir air mata gembira.

Bukan perlu kos mahal untuk menggembirakan seseorang, sebaliknya suasana santai akan memberikan satu fenomena baik kepada individu.

Penulisan kali ini akan mengupas mengenai kemewahan bukan perkara boleh menjamin kegembiraan dan kesenangan dalam hidup, penyerapan stres dan mengukur stres dalam diri sendiri dan cara 'menyepaknya' ke tepi.

Tidak perlu satu benda gah, rumah tersergam indah dengan orang gaji berkeliaran di sana sini, kereta berjenama menjalar di depan, sebaliknya cukuplah rumah sekadar santai dan tempat berteduh seadanya dan keluarga bahagia.

Apa pula disabitkan kisah Kampung Pisang Bersiri-siri dengan kegembiraan dalam hidup ini. Jangan pening, penulis bukan sebahagian daripada watak dalam cerita itu, tetapi ia adalah sebuah nilai karya tidak serius sangat, santai dan bajet tak perlu berjuta-juta untuk proses pembikinannya dan jika dibuat dengan teliti, pasti akan menggembirakan orang lain. Itulah yang saya maksudkan.

Nilai sebuah kehidupan mahupun pekerjaan yang kita hadapi seharian tidak kiralah sama ada sebagai anggota pasukan keselamatan, penjawat awam atau pekerja swasta, tidak perlu berkedudukan tinggi, berpendapatan lumayan untuk gembira dalam hidup.

Cukuplah pekerjaan itu sebagai rezeki dikurniakan Tuhan dan bukannya kita tidak perlu berusaha ke arah lebih maju, tetapi jika sudah ditakdirkan disitu rezeki kita, jangan sesekali 'pangkah' rezeki orang lain.

Bercakap soal rezeki dan ketenangan serta kegembiraan hidup, saya akan mengupas sedikit daripada sudut pekerjaan kita jalani sekarang. Janganlah terlalu stres dengan apa jua kita hadapi, belajar menangani stres dengan apa jua cara kerana yang penting hiduplah dengan penuh kegembiraan.

Jika rasa tertekan dalam hidup seharian belajarlah menonton drama yang menyenangkan hati kita. Jika dengan menonton movie itu tidak membuat kita gelak ketawa atau melupakan stres, maka ada masalah dalaman dalam jiwa kita dan seharusnya segera berjumpa pakar untuk flying kick masalah itu.

Jadikanlah kehidupan kita seharian penuh dengan kegembiraan dalam menempuh liku mencabar ini. Jangan biarkan stres atau permasalahan timbul sebagai satu barah yang sedang merebak dalam badan kita, sebaliknya hapuskannya serta-merta dengan berdoa kepada Tuhan dengan bersungguh-sungguh dan mencari jalan sesuai bagi menghindarkannya.

Apa guna naik kereta BMW bersama isteri dan anak dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur, tetapi bergaduh di sepanjang jalan serta jiwa tidak tenteram. Sedangkan keluarga di dalam kereta Perodua Kancil di sebelah kita boleh menyanyi-nyanyi dan bergembira.

Selain al-Quran yang kita jadikan sebagai pedoman hidup sebagai umat Islam, tidak salah kita membaca dan menimba ilmu daripada kategori lain sebagai pedoman.

Jika kita ingin mengukur kebolehan diri dengan cara sendiri tanpa perlu mendengar nasihat orang lain kerana tiada masa atau malas hendak bercampur sesiapa, ada beberapa teori atau buku boleh dibaca.

Beberapa teori dinyatakan dalam buku itu berkemungkinan dapat diguna pakai dalam membentuk diri tanpa berguru atau mendengar pandangan orang lain.

Beberapa pendapat pakar yang saya nyatakan ini terbukti keberkesanannya sebagai rujukan hidup sama ada kita sebagai pelajar, penjawat awam atau komuniti biasa.

Buku dan jurnal pengukuran itu ialah:

1. Harga diri Self-Esteem Measured by constructing the scales using established items from the Gecas and Schwalbe Self-Esteem Scale (Gecas & Schwalbe, 1983); Rosenberg's Self-Esteem Scale (Rosenberg 1979) and Pearlin's Mastery Scale (Perlins et.al. 1981).

2. Theory of Planned Behaviour Human Behavior (Cheng, Lam, & Hsu, 2006; Oreg & Katz-Gerro, 2006; Tarkiainen & Sundqvist, 2005; George, 2002; East, 2000; Dharmmesta & Khasanah, 1999), such behaviour of adolescents under study. TPB (Ajzen, 1991).

3. Pengukuran of Theory Planned Behaviour (ICek Azjen 1991); Constructs: Attitude: Emotion - Amusement (Shiota et. al., 2006); Anger (Snell et.al.,1995); Elation (Argyle et.al. 2002); Satisfaction (Diener et.al.,1985); Stress (Spielberg et.al. (1985) dan Sensation (Zukerman, Eysenck & Eysenck, 1978); Atitude: Mental Outlook – Desire for recognition (Cannon, 2015); Desire for attention (Revelle, 1979, 2012); Risk perception (Chang & Yeh, 2007); Perceived gains (Brown, 2005); Subjective Norm: Family members, lovers (Simon-Morton et.al, 2011); Peers-Proximal/Distal/Peer risk-taking influence (Chang & Yeh, 2007); Perceived Behaviour Control: Resources and Opportunities, Resources (Chang & Yeh, 2007); Opportunities (Brown, 2005)."

Taip dan carilah di Google, nescaya keluarlah jurnal atau buku berkaitan sebagai rujukan. Saya sarankan supaya membaca buku dan penulisan jurnal berkenaan kerana banyak pengajaran dan ilmu yang dapat kita pelajari.

Garapan daripada buku dan jurnal penulisan tersohor itu boleh diguna pakai dalam bidang penulisan, tesis, tugasan bagi pelajar atau pembacaan ilmiah selain untuk mengukur diri dan diamal dalam kehidupan, kerja seharian serta tingkah laku dan sifat semula jadi kita.

Jangan terlalu bermegah dengan diri sendiri tanpa mengetahui di luar sana ada orang hebat dengan kajian terbukti berkesan dan penyelidikan mereka boleh dijadikan sebagai rujukan supaya kehidupan kita lebih maju, berdaya saing dan cemerlang.

Matlamat kita adalah sama-sama menyerap stres dan hidup dalam keadaan bahagia kepada diri, keluarga dan masyarakat setempat.

Penulis Ketua Polis Balai Nusa Bestari, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 8:00 AM