Rasanya lebih elok jika maklumat penting itu dicatat pada buku nota dari disimpan terus dalam minda. HAZRIL MDNOR rasa setiap generasi muda perlu ada jurnal sendiri bagi memudahkan urusan harian.

Mungkin kita sudah tahu objektif mahupun visi dalam hidup, tapi kadangkala kita rasa lebih elok jika ia disimpan dalam bentuk tulisan dan bukan disimpan dalam memori semata-mata. Ini kerana kandungan ayat dalam penulisan itu akan kekal sampai bila-bila. Lagipun, jika ditulis satu per satu objektif dan matlamat yang ingin dicapai dalam diari atau jurnal, kita boleh aturkan semuanya menjadi lebih teratur.

Tidak kisah aplikasi penyimpanan nota di telefon pintar mahupun cara yang lebih klasik iaitu dengan menggunakan buku nota, menyimpan maklumat dalam jurnal ini lebih efektif dan memudahkan anda mengingati sesuatu. Realitinya memori kita tidak boleh mengingati kesemua benda sekali gus, justeru penyediaan jurnal memudahkan segala-galanya termasuk menjadikan hidup anda lebih sistematik.

Mudah dan cepat

Tidak perlu buku nota yang besar dan tebal, tapi yang kecil dan nipis saja sudah memadai sebagai 'teman' setia anda. Lebih kecil buku nota itu maka lebih mudah untuk anda mencatat. Inilah antara kelebihan jurnal kerana anda boleh mencatat sesuatu yang penting dengan kadar segera tanpa perlu menyimpan kesemua maklumat dalam minda. Menurut usahawan popular di Amerika Syarikat, Michael Hyatt berkata, mempunyai jurnal peribadi membolehkan individu itu lebih memahami apa yang ditulis.

"Masa berlalu begitu pantas dan terdapat banyak perkara yang berlaku dalam hidup saya. Dengan mencatat apa yang penting di jurnal, saya lebih memahami konteks hidup secara menyeluruh kerana ketiadaan masa untuk merekod kesemua kejadian penting yang saya alami," katanya.

Tingkatkan kreativiti

Bagi mereka yang meminati bidang penulisan, cara yang terbaik untuk tingkatkan prestasi ialah teruskan menulis. Justeru, dengan adanya jurnal maka lebih mudah untuk menggalakkan percambahan idea. Apa saja yang menarik dan sesuatu yang boleh tingkatkan imaginasi boleh direkodkan dalam jurnal. Kata orang, walaupun pada mulanya idea itu tampak tidak menarik, namun ia boleh melahirkan pelbagai idea baru yang lebih kreatif dan berguna dalam karya penulisan anda.

Memiliki jurnal sendiri juga adalah langkah terbaik untuk mengekalkan tabiat yang baik. Ini kerana melalui penulisan, ia memberikan kesedaran pada tindakan dan perilaku anda sukar dibendung. Misalnya, hari ini anda merancang perbelanjaan bulanan yang efektif untuk bulan seterusnya. Cara itu boleh mendidik anda untuk berjimat dan menyimpan duit berdasarkan apa yang sudah dirancang bagi mengelakkan pemborosan.

Pilih yang sesuai

Bagi anak muda yang selalu 'melekat' dengan peranti mudah alih, terdapat banyak aplikasi jurnal yang sesuai dengan anda. Justeru, walaupun hidup anda sentiasa sibuk dengan lambakan kertas kerja dan 'meeting' yang tidak pernah habis, apa salahnya muat turun aplikasi jurnal yang membolehkan anda mencatat sesuatu yang penting dengan kadar segera. Tidak mustahil dengan adanya jurnal, hidup anda lebih teratur dan anda tidak perlu terburu-buru ketika menyiapkan tugasan ataupun menghadiri perbincangan berkumpulan.

Mereka yang meminati bidang penulisan juga kebiasaannya memilih kaedah yang lebih klasik iaitu mempunyai buku nota sendiri. Dengan cara itu, setiap maklumat dan data yang diperoleh direkod sepenuhnya dalam buku nota itu, selain memberikan anda kawalan sepenuhnya pada kandungan penulisan itu. Itu sebenarnya memudahkan anda untuk meluahkan segala idea kreatif di samping menulis segala pengalaman menarik anda dengan suasana lebih privasi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 5:22 AM