Ramlah Zainal

Klang: Jenazah bekas vokalis Jinbara, Allahyarham Tia atau Shamsul Bakhtiar Zakaria, 53, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kota Raja, di sini, sekitar jam 10.03 pagi ini.

Jenazah Tia yang meninggal dunia kerana kanser hati di Hospital Shah Alam jam 9.17 malam tadi dibawa ke kediamannya di Klang dan tiba di Masjid Kota Raja di sini kira-kira jam 8.30 pagi.

Jenazah dimandi dan dikafankan sebelum disembahyangkan oleh lebih 200 jemaah termasuk rakan-rakan industri. 

Antara yang hadir bagi memberi penghormatan terakhir ialah rakan penyanyi antaranya Liza Hanim, Lan Solo, Baggio Damasutra, Ameng Spring, Ali XPDC dan Yabang.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Suzan Ahmad.

JENAZAH Allahyarham Tia Jinbara selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Kota Raja, Klang. FOTO Amirudin Sahib
JENAZAH Allahyarham Tia Jinbara selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Kota Raja, Klang. FOTO Amirudin Sahib

Ketika ditemui, Suzan berkata, dia bersyukur kerana urusan pengebumian berjalan lancar dan dipermudahkan Allah SWT.

"Saya reda dengan pemergian arwah dan bersyukur segala urusan pengurusan jenazah diuruskan kariah masjid di sini," katanya.

Semalam, isterinya, Suzan yang juga bekas wartawan BH melancarkan tabung bagi mengutip derma untuk menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Medanta, New Delhi, India, namun hasrat tidak kesampaian.

Penyanyi lagu Farhana itu mendirikan rumah tangga dengan Suzan pada 14 tahun lalu, namun tidak dikurniakan cahaya mata.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 10:58 AM