Ameng Spring. Foto Ramlah Zainal
Ameng Spring. Foto Ramlah Zainal
Ramlah Zainal


Klang: Penyanyi Ameng Spring mendedahkan Allahyarham bekas vokalis Jinbara, Tia atau nama sebenar, Shamsul Bakhtiar Zakaria, 53, tidak pernah 'demand' dari segi bayaran mahupun bermasalah dengan promoter persembahan sebelum ini.

Menurut Ameng atau nama sebenar, Wan Aminuddin Wan Ismail, 55, dia selalu bertemu dengan arwah Tia ketika menjayakan persembahan pentas dan acara karnival hampir setiap minggu.

Kata bekas peserta program Gegar Vaganza musim ketiga (GV) ini, hubungannya dengan Tia sebagai rakan artis bertambah erat bila penyanyi lagu Farhana itu menyertai GV pada 2017. 

"Saya menyertai GV pada 2016 tapi arwah  sama dengan penyanyi Lan Solo iaitu mereka memasuki program GV musim keempat pada 2017. 

"Hubungan kami dengan peserta GV memang rapat walaupun program sudah selesai," katanya ketika ditemui Harian Metro selepas majlis pengebumian arwah Tia di Tanah Perkuburan Masjid Kota Raja, di sini, semalam.

Ditanya pandangannya dengan keperibadian arwah pula, kata Ameng, walaupun tampil dengan imej rock, jiwa Tia sebenarnya lembut dan seorang yang sangat sederhana.

"Sepanjang mengenali arwah, saya tidak pernah dengar dia bertengkar dengan promotor persembahan dan selalunya dia ikut sahaja apa yang promoter mahu dari segi lagu yang disampaikan dan sebagainya," katanya.

Bagaimanapun, kata Ameng, dia memang tidak menyangka arwah Tia akan pergi meninggalkan industri seni secepat itu.

Sementara itu, penyanyi Lan Solo pula berkata, hubungannya dengan arwah Tia juga mula rapat ketika mereka sama-sama menyertai program GV musim keempat pada 2017. 

Menurut Lan Solo atau nama sebenar, Mohd Razlan Mohamed Yusof, 36, mereka juga selalu meluangkan masa bersama ketika program berkenaan.

"Pada masa sama, arwah juga ada meluahkan hasrat untuk penjenamaan semula namanya dalam bidang seni selepas bergerak solo dan tidak lagi bersama kumpulan Jinbara.

"Kami juga berkongsi mengenai bidang bisnes kerana arwah juga buat bisnes sambal. 

"Kali terakhir, saya bertemu arwah sebelum raya dan dia sempat buat video promosi bisnes saya ketika itu," katanya.

Berita berkaitan:

Tia Jinbara selamat dikebumikan di Klang 

Tia Jinbara meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 2:22 PM