SUZAN bersama suaminya, Tia Jinbara. FOTO Instagram Suzan Ahmad
SUZAN bersama suaminya, Tia Jinbara. FOTO Instagram Suzan Ahmad
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Isteri yang merangkap pengurus Tia Jinbara iaitu Suzan Ahmad akan menjadi penderma hati buat suaminya yang kini disahkan menghidap barah hati dan menerima rawatan di Hospital Shah Alam (HSA).

Suzan yang juga bekas wartawan Berita Harian, bagaimanapun sangat memerlukan bantuan kewangan sebanyak RM250,000 bagi menampung kos pembedahan Tia atau nama sebenanya, Shamsul Bakhtiar Zakaria yang akan dilakukan di Medanta, India.

"Setakat ini, doktor beritahu hati saya macam sesuai untuk didermakan kepada suami atas faktor kumpulan darah kami yang sama dan saya pun tiada sebarang penyakit kronik. Tapi, keputusan sebenar akan diketahui selepas ujian lanjut di India nanti.

"Demi kasih sayang dan cinta kami yang dikurniakan Allah, sebagai isteri saya sedia mendermakan hati sekiranya sesuai kepada suami untuk melihat dia kembali sihat seperti dulu dan saya juga akan terus memberi sokongan semangat kepadanya.

"Cuma, saya mohon bantuan sumbangan ikhlas daripada orang ramai untuk mengumpulkan kos pembedahan pemindahan hati yang kami perlukan dengan keadaan segera sebanyak RM250,000," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Suzan, kos pembedahan yang besar itu memerlukan dia memohon sumbangan dan amat berterima kasih kepada mereka yang sudi membantu serta mendoakan kesembuhan buat Tia.

"Dengan ikhlas bantulah kami sekeluarga agar saya dan suami dapat menjalani pembedahan ini yang akan dilakukan di Medanta, India dengan secepat mungkin. Semoga Allah merahmati dan memberkati setiap penderma yang membantu," katanya.

Bagi orang ramai yang ingin menghulur sumbangan mereka boleh ke akaun Maybank, 114123682233 (Suzan Ahmad) untuk bersama membantu meringankan bebanan kewangan dihadapi pasangan ini.

Terdahulu Tia, 53, dilaporkan media disahkan menghidap barah hati dan kini menerima rawatan di Hospital Shah Alam.

Dia dimasukkan ke hospital itu pada Rabu lalu apabila mengadu sakit perut. Selepas menjalani pelbagai pemeriksaan termasuk ujian imbasan sinar-X, kolonoskopi dan yang terakhir, CT Scan, barulah doktor mengesahkan ada ketumbuhan pada hati iaitu barah.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 10:31 AM