Anggota Jinbara, Ahtan dan Cepot
Anggota Jinbara, Ahtan dan Cepot
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Anggota Jinbara, Ahtan dan Cepot memaklumkan mereka tidak pernah bermasam muka atau bergaduh dengan bekas vokalisnya, Allahyarham Tia atau Shamsul Bakhtiar Zakaria.

Perkara ini dibuktikan apabila kedua-duanya turut hadir pada hari pengebumian jenazah Tia di Tanah Perkuburan Islam Sungai Jati, Klang pada 9 November lalu.

Cepot berkata, mereka mengamalkan sifat setia kawan yang tinggi dan tidak pernah menyekat rezeki masing-masing dalam karier seni.

"Isu sebenar kami ialah Jinbara dah habis kontrak dengan Warner Music ketika itu. Dalam masa sama, kami masing-masing boleh bergerak sendiri. Jika ada peluang lain, pergilah.

"Konsep kami begitu. Ketika itu kami lihat Tia sudah ada orang kuat dibelakangnya iaitu isterinya Suzan Ahmad yang ada pengalaman sebagai orang media.

"Namun, pendapat orang pula anggap kami sebaliknya hingga ada kata kami bergaduh. Apapun tanggapan orang, kami tak dapat halang," katanya.

Dalam masa sama, mereka akur dengan ketentuan bahawa Jinbara sentiasa diuji termasuk semasa rakaman single terbaru Kurniaku Terindah ciptaan Datuk M Nasir dibawah label Luncai Emas.

"Kami sentiasa berusaha untuk menghasilkan karya. Tapi dalam masa sama, ujian demi ujian juga kami perlu tempuh. Masa awal rakaman, yang pergi (meninggal dunia) ialah Tony Spider, sampaikan kami sendiri kata, setiap kali buat benda ada saja masalah.

"Kami duduk berbincang dan teruskan sehingga siap. Selepas itu vokalis baru kami, Along atau Syah Nizam Ahmad Shamsi pula terkena serangan strok pada 8 September. Di sertai kami pada 2022 dan terbabit merakamkan single ini.

"Kami dah duduk berbincang dengan semua pihak dan akan hasilkan juga muzik video lagu ini. Mungkin kami buat dengan idea tanpa penyanyi. Tapi. Lagu ini pada intronya ada suara Cepot serta Along dan muzik videonya dibuat begitu juga," kata Ahtan.

Menurut Ahtan, dia tidak menolak kemungkinan untuk menghasilkan muzik video dalam bentuk apresiasi terhadap Tony, Tia dan Along.

"Sekarang bendanya dah dirancang tapi dalam peringkat akhir. Penghasilannya lebih kepada muzik video dedikasi.

"Keadaan Along pula masih dalam penyembuhan di Hospital Kuala Lumpur untuk keringkan cecair dalam kepala. Perubahan positif itu ada. Alhamdulillah... dari sehari ke sehari keadaannya semakin baik.

"Dah lebih dua bulan dia terlantar. Sebelum ini dia dah balik rumah dua minggu tapi masuk semula HKL untuk rawatan susulan kali kedua. Akan makan masa untuk dia pulih dan menyanyi semula," katanya.

Menurut mereka, tawaran show masih ada tetapi Jinbara terpaksa menolak buat masa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 7:04 PM