Shaheizy Sam ketika sidang media tayang filem La Luna di Dadi Cinemas Pavillion, Bukit Bintang. FOTO AZIAH AZMEE
Shaheizy Sam ketika sidang media tayang filem La Luna di Dadi Cinemas Pavillion, Bukit Bintang. FOTO AZIAH AZMEE
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Shaheizy Sam menyelar kenyataan yang dikeluarkan seorang selebriti popular yang didakwa mempertikaikan strategi pejuang Hamas sekali gus meminta individu itu untuk tidak memberi sebarang ulasan lanjut sekiranya tidak mengetahui konflik peperangan yang sedang berlaku di Palestin dan Israel.

Sam berkata, sebagai individu beragama Islam dia sepatutnya bersikap lebih sensitif dan menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada saudara Islam di Palestin yang sengsara dibedil zionis Israel tanpa henti.

"Tindakannya yang ingin menunjukkan dia tahu konflik yang sedang berlaku di negara itu sudah okey, tetapi kadang-kadang sebelum kita cakap kita perlu mengingatkan diri.

"Kalau tak tahu apa yang sedang terjadi di sana, lebih baik diam sebab dia pun tiada di sana bagi menceritakan situasi yang sedang berlaku. Bagi saya dalam hal ini tak perlu fikir mengenai sejarah (peperangan) tetapi jika anda rasa anda Islam sekurang-kurangnya ingatlah kepada saudara seagama di sana. Beri sepenuh sokongan kepada mereka," katanya ketika ditemui media pada majlis tayangan perdana filem La Luna di sini, semalam.

Dalam masa sama, Sam yang kecewa dengan kekejaman yang dilakukan oleh tentera zionis Israel turut mengajak orang ramai untuk memboikot sebarang jenama produk yang terbukti menyalurkan duit kepada negara itu bagi melakukan kebinasaan.

"Saya sendiri berusaha untuk boikot barangan yang ada jika didapati syarikat itu menyalurkan sumbangan kepada tentera zionis secara langsung atau tidak.

"Ada syarikat yang tidak mengeluarkan sumbangan kepada mereka, tetapi membayar royalti kepada sesebuah jenama itu. Jadi jika saya dengar duit itu untuk melakukan kebinasaan saya akan berhenti membeli produk terbabit.

"Saya juga ada pautan artikel syarikat-syarikat yang menyalurkan duit terus kepada zionis Israel dan selalu kongsikan di media sosial.

"Kita sebagai manusia selalu terlepas pandang perkara ini apabila mengatakan kita saja yang boikot, tapi negara lain tidak. Bagi saya, jangan fikir mengenai apa negara lain buat, sebaliknya fikir mengenai nilai kemanusiaan. Lebih baik buat (boikot) daripada tak buat apa-apa," katanya.

Ditanya mengenai sikap sesetengah pihak yang cuba memperlekehkan usaha rakyat Malaysia yang ingin memboikot produk berkaitan Israel, Sam berkata, dia menganggap golongan itu masih kebudak-budakan.

"Mereka yang memperlekeh ini saya rasa masih berusia 12 tahun ke bawah. Orang dewasa tidak mungkin berfikiran begitu. Namun kalau betul golongan dewasa yang memperlekehkannya, saya minta maaf anda masih kebudak-budakan.

"Jangan perlekeh usaha orang lain yang cuba buat kebaikan. Walaupun diri anda tak baik atau tak boleh nak jadi baik, jangan sesekali hentikan niat orang nak lakukan kebaikan kerana anda akan membuatkan mereka tidak bersemangat sedangkan selama ini motivasi mereka jauh lebih hebat berbanding orang yang berada di sekeliling anda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 3:56 PM