FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nor Syazrina Muhamad Tahir dan Nurul Najwa Mohd Noordin


Kuala Lumpur: Ramai dalam kalangan pengguna menganggap trend memboikot sesuatu jenama produk bermusim namun ada juga yang mahu tindakan itu dilakukan berterusan sebagai sokongan kepada Palestin.

Tinjauan Harian Metro mendapati tindakan boikot pengguna bergantung kepada keseriusan sesuatu isu yang dikaitkan dengan jenama produk tertentu.

Pengguna, Muhammad Irfan Mohammad, 23, berkata, dia sanggup memboikot mana-mana produk yang dikaitkan dengan Israel seumur hidupnya.

"Saya akan boikot mana-mana jenama yang menyokong Israel seumur hidup saya kerana menganggap tindakan ini sebagai senjata melemahkan sistem kewangan mereka," katanya.

Menurutnya, jika boikot dianggap sebagai trend iaitu tindakan bermusim, ia secara tidak langsung akan memberi mereka isyarat sokongan untuk terus melakukan kekejaman.

"Mereka yang tidak boikot ini perlu sedar dengan apa yang sedang berlaku di Gaza yang sedang berjuang untuk hidup dan mendapatkan keadilan hak manusia," katanya.

Ditanya mengenai kakitangan Islam yang bekerja di premis yang diboikot, Irfan berkata, golongan itu mempunyai pilihan menukar pekerjaan dengan bekerja di syarikat lain.

Pandangan itu turut dipersetujui oleh kakitangan eksekutif di syarikat penyiaran, Arif Aiman Ahmad Lela, 35, yang berkata pekerja Islam mempunyai pilihan menukar pekerjaan walaupun hakikatnya tidak semudah yang disangka.

Dalam pada itu, Arif juga menyedari banyak jenama luar negara yang sebenarnya menjadi orang tengah menyalurkan pendapatan kewangan kepada rejim Zionis di Gaza.

"Walaupun sedih apabila harus memboikot jenama kesukaan saya namun melihat keperitan di Gaza, saya tekad terus memboikot jenama-jenama yang berkaitan.

"Saya sangat terkesan dengan apa yang sedang berlaku, bukan kita saja yang sedang memboikot tetapi gerakan ini dilakukan satu dunia," katanya.

Dia juga percaya sekecil-kecil usaha yang dilakukan akan memberi impak besar.

Pelatih industri, Shahriena Rukhaini Mohd Shukri, 22, berkata, banyak barangan hariannya yang diboikot sejak tahun lalu.

"Contohnya seperti jenama terkenal wangian, makanan segera, jenama terkenal kopi dan banyak lagi.

"Saya tak ikut trend untuk boikot kerana saya memang ikhlas boikot untuk menjatuhkan puak kejam Israel," katanya.

Dia berkata, dia juga mengambil inisiatif dengan membuat rujukan di Internet terlebih dulu untuk mengelakkan membeli barangan keluaran Israel.

Sementara itu, pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Alia, 20, berkata, dia memboikot hanya sekadar ikutan trend.

"Saya tidak betul-betul boikot, cuma sekadar ingin mengelakkan kecaman orang ramai.

"Saya masih beli jenama kopi terkenal dan barangan lain yang saya rasa sukar untuk tidak membelinya," katanya.

Dia beranggapan hak untuk memboikot itu terletak kepada setiap individu dan orang lain tiada hak memaksa dan memandang serong jika tidak mengikut kehendak ramai.

Pelajar separuh masa, Masni Baharuddin, 25, pula memilih tidak memboikot kerana mempunyai kepentingan sendiri.

"Saya menghadapi kesukaran mencari barangan gantian yang sesuai untuk digunakan, contohnya seperti produk kecantikan sesuai dengan kulit saya.

"Daripada membazir duit mencuba produk baru yang akan mendatangkan kesan buruk kepada saya, lebih baik saya mengekalkan penggunaan produk asal.

"Saya tidak peduli pandangan orang kepada saya sebab saya ada cara tersendiri untuk menyokong warga Palestin di sana," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 3:58 PM