(kiri) Mohd Khairianwar Jailani (kanan) Tan Meng Kheng.
(kiri) Mohd Khairianwar Jailani (kanan) Tan Meng Kheng.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 14 Jun depan untuk memutuskan permohonan pengarah dan penerbit filem Mentega Terbang bagi merujuk persoalan perlembagaan berhubung Seksyen 298 Kanun Keseksaan membabitkan pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain melalui filem itu ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam N. Surendran, yang mewakili Mohd Khairianwar Jailani, 32, dan Tan Meng Kheng, 36, serta Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob mewakili pendakwa raya.

Pada 17 Januari lalu, Mohd Khairianwar, yang juga seorang penulis skrip, dan Tan didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Jalan Semarak Api di sini pada 12.34 tengah hari 26 Februari 2023 mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Surendran berhujah eleman kesalahan bagi pertuduhan yang dihadapi Mohd Khairianwar dan Tan adalah tidak berperlembagaan kerana ia bercanggah dengan Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

"Perbuatan melukakan perasaan agama lain yang merupakan elemen penting di bawah Seksyen 298, tidak tertakluk di bawah sekatan `ketenteraman awam' yang terkandung dalam Perkara 10(2)(a).

"Jika seksyen itu diisytiharkan melanggar Perlembagaan maka pertuduhan terhadap anak guam saya terbatal dan tiada kes terhadap mereka," katanya mengemukakan permohonan mengikut Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Abdul Malik pula meminta mahkamah menolak permohonan itu.

Beliau berkata persoalan perlembagaan yang dibangkitkan tidak perlu dirujuk ke Mahkamah Tinggi kerana ia bukan isu yang sukar sebaliknya boleh diputuskan pada akhir perbicaraan.

"Persoalan itu dibangkitkan berdasarkan anggapan semata-mata dan bertujuan melengah-lengahkan perbicaraan. Saksi masih belum dipanggil memberi keterangan," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri mengharamkan tayangan dan publisiti filem itu menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 2662 Akta Penapisan Filem 2002 Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023 bertarikh 21 Ogos 2023 yang ditandatangani oleh menteri berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Filem itu, yang ditayang menerusi platform penstriman video, telah mengundang kecaman dan kegusaran orang awam kerana didakwa memaparkan adegan dengan unsur bertentangan fahaman serta kepercayaan agama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 7:29 PM