HASIL undian yang dibuat melalui platform media sosial Harian Metro.
HASIL undian yang dibuat melalui platform media sosial Harian Metro.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Majoriti pengguna media sosial bersetuju untuk memboikot produk berkaitan Israel susulan kekejaman rejim zionis terhadap Palestin.

Keputusan itu diperoleh berdasarkan undian yang dibuat di platform Facebook, Instagram dan X (dahulunya Twitter) Harian Metro dalam tempoh 24 jam bermula 5 petang Rabu lalu hingga 5 petang semalam.

Undian di Facebook mendapati 96 peratus memilih untuk memboikot, dan hanya empat peratus yang mengatakan tidak akan boikot.

Hasil hampir sama turut diperoleh di Instagram apabila sebanyak 94 peratus memilih memboikot dan enam peratus lagi memilih tidak memboikot.

Undian di laman X pula mendapati sebanyak 85.1 peratus memilih memboikot manakala 14.9 peratus lagi memilih untuk tidak memboikot.

Seorang pengguna di Instagram, @WifiWan_95 berkata, dia sudah lama memboikot produk berkaitan Israel yang berpotensi menyalurkan dana kepada rejim zionis.

Seorang lagi pemilik akaun @deandralexis berkata, keadaan itu menjelaskan sebab mereka sekeluarga tidak lagi makan di restoran makanan segera tertentu.

Bagaimanapun, ada juga komen berbaur sindiran termasuk pemilik akaun @jon43706399 yang berkata, jika setakat boikot hangat-hangat tahi ayam baik tak payah.

Serangan udara Israel sudah memusnahkan sekurang-kurangnya 29,000 bangunan di Semenanjung Gaza, menurut data dikumpulkan sejak 7 Oktober menurut Pejabat Media Kerajaan di wilayah yang dikepung itu pada Khamis.

Lebih 1.5 juta mangsa konflik meninggalkan rumah mereka dan berlindung di pusat, hospital dan kemudahan awam.

Israel melancarkan serangan udara tanpa henti di Semenanjung Gaza berikutan serangan rentas sempadan pada 7 Oktober oleh kumpulan pejuang Hamas Palestin ke dalam wilayah diduduki Israel secara haram.

Hampir 8,500 terbunuh dalam konflik itu termasuk sekurang-kurangnya 7,028 rakyat Palestin dan 1,400 di pihak zionis Israel.

Seramai 2.3 juta penduduk Gaza kehabisan makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api, manakala konvoi bantuan yang dibenarkan masuk ke Gaza hanya membawa sebahagian kecil daripada apa yang diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 4:21 PM