Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Seorang ahli parlimen menyindir kerajaan Kelantan berhubung isu boikot syarikat yang menyokong Israel.

Chong Zhemin (Kampar-PH) mengambil kesempatan itu ketika membahaskan topik dietetik dan sajian pada sesi perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan (KKM).

Mengambil contoh Chong mempersoalkan, kerajaan Kelantan yang masih menggunakan kereta mewah, Mercedes Benz yang turut menyumbang kepada ekonomi Israel.

"Mercedes Benz, saya ada baca dua minggu lalu saya tak ingat, derma (sumbang) RM5 juta kepada Israel.

"Saya nak tanya kerajaan Kelantan empat kereta Mercedes Benz masih nak pakai ke tak? Nak boikot ke tak?" katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Justeru katanya, jangan ada 'double standard' atau pilih kasih dalam soal memboikot produk yang berkaitan dengan Israel.

"Hari itu, pembangkang ada bangkitkan tentang Malaysia Airlines System (MAS) sediakan makanan terlalu manis dan tak sedap.

"Starbucks tak nak makan dan McDonald's tak mahu (jadi) Mercedes Benz pun jangan pakai boleh?

"Kalau hendak boikot jangan double standard, nak boikot, semua kena boikot. Duit sudah masuk Israel," katanya mengakhiri perbahasannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 1:12 PM