FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Dr Mohd Anuar Ramli

Boikot adalah tindakan tidak membeli barangan atau perkhidmatan bagi menyatakan bantahan atau kemarahan terhadap sesuatu pihak atau sesuatu perkara. Ia didorong pelbagai faktor, misalnya isu agama, politik, etika, alam sekitar dan sosial.

Di Malaysia, seruan boikot biasanya dilaungkan apabila ada sesuatu isu yang sensitif, khususnya membabitkan agama Islam dan umat Islam. Umpamanya, boikot produk Sweden dilaungkan apabila ada penghinaan terhadap Rasulullah dan al-Quran, boikot terhadap produk orang bukan Islam (BMF) dikumandangkan apabila ada penghinaan terhadap Islam dan tulisan jawi dan boikot terhadap produk Israel atau sekutunya diserukan apabila berlaku serangan pengganas Israel ke atas penduduk Palestin.

Kini, apabila berlaku serangan tentera Israel ke atas Palestin, kempen boikot kembali bergema. Banyak pihak melancarkan kempen boikot beserta dengan senarai produk dan perkhidmatan dikeluarkan dan disebarkan secara meluas. Susulan itu terdapat segelintir pihak yang tidak bersalah mulai runsing dan takut untuk keluar mencari rezeki bagi memastikan dapur mereka berasap. Situasi ini berlaku disebabkan mereka bekerja dengan syarikat yang disenaraikan dan jika boikot berlanjutan kemungkinan mereka akan kehilangan kerja.

Secara umumnya, dalam seruan boikot produk dan perkhidmatan yang berorientasikan Israel, pihak yang terlibat melakukan kempen secara agresif tanpa mempertimbangkan sisi maslahah dan mafsadah kepada pihak lain di samping tanpa melihat latar belakang sesuatu syarikat secara lanjut.

Sedangkan dalam senarai yang dikemukakan, memang terdapat produk dan perkhidmatan milik orang Yahudi dan Israel. Mereka terbahagi kepada dua, iaitu golongan yang menyokong serangan ke atas Palestin dan golongan yang tidak menyokong serangan.

Di samping itu, ia turut melibatkan syarikat francais. Terdapat syarikat francais yang mempunyai pendirian berbeza dengan syarikat induk dan tidak menyokong serangan, malah mereka menyumbang kepada tabung Palestin. Selain itu, wujud pula syarikat bukan milik Israel, tetapi menyalurkan dana dan menyokong Israel.

Dalam senario ini, pemboikotan terhadap pihak yang menyokong serangan, menyalurkan dana dan menyokong rejim Israel adalah jelas. Kita boleh bersepakat untuk memboikotnya, tetapi dalam keadaan yang melibatkan syarikat francais dari luar negara, pertimbangan berasaskan maslahah dan mafsadah perlu diambil kira. Ia melibatkan beberapa produk yang memegang sijil halal Malaysia dan mempunyai ramai pekerja Muslim, bahkan mereka turut menyumbang kepada tabung Palestin.

Pada dasarnya, ulama menggariskan hukum boikot sebagai pembelaan terhadap bumi Palestin dan Baitul Muqaddis adalah bersifat Fardu Ain. Ramai ulama yang menfatwakan berkaitan kewajipan untuk memboikot produk dan perkhidmatan yang menyalurkan bantuan kepada Israel kerana ia sebahagian daripada jihad fi sabilillah.

Namun, dalam konteks semasa, tindakan memboikot ini perlu diteliti dengan mendalam kerana ia boleh menimbulkan kesan berantai terhadap ramai pihak yang tidak bersalah. Dalam persoalan ini, penelitian daripada aspek maslahah dan mafsadah amat dititikberatkan supaya mencapai matlamat syariah. Ulama menggariskan panduan dalam menentukan aspek maslahah ini dapat dicapai supaya ia mendatangkan kebaikan kepada manusia.

Ini kerana Islam agama yang menitikberatkan maslahah, iaitu mendatangkan manfaat dan menghindari kemudaratan. Islam menolak mafsadah kerana ia membawa kerosakan dan kemudaratan kepada manusia.

Dalam hal ini, tindakan pemboikotan selari dengan maslahah, iaitu mendatangkan kebaikan dengan memberi tekanan kepada syarikat milik Yahudi dan Israel serta penyokong rejim zionis.

Tekanan berbentuk ekonomi ini mampu mengurangkan keuntungan walaupun tidak menyebabkan kerugian besar kepada mereka. Sebaliknya, jika syarikat francais, pertimbangan mafsadah atau keburukan perlu dipertimbangkan. Ini kerana ramai orang Islam yang terlibat dalam rantaian produknya dan kemudaratan akan berlaku kerana kelangsungan hidup mereka yang terlibat akan terjejas. Sekiranya tiada jualan dan premis ditutup, mereka akan kehilangan kerja dan sumber pendapatan. Kesan ini turut melibatkan pelbagai pihak yang berada dalam rantaian ekonomi terbabit seperti pembekal, pengedar, penyedia logistik, penghantar makanan dan lain-lain. Pertimbangan ini selari dengan kaedah fikah: Mengelak kemudaratan lebih utama daripada mendapatkan kemaslahatan.

Jika dibuat pertimbangan antara maslahah yang boleh diperolehi dengan mafsadah yang berlaku, maka kedudukan mafsadahnya lebih besar.

Mengambil kira kaedah fiqh di atas, maka pemboikotan terhadap syarikat francais boleh mendatangkan mafsadah yang jelas berbanding maslahah. Pihak yang memboikot tidak mengalami apa-apa kerugian. Manakala, pihak syarikat francais terpaksa menanggung kerugian yang besar, sedangkan mereka mempunyai pendirian yang berbeza dengan pihak francais yang berada di Israel. Malah, syarikat francais di Malaysia turut bersolidariti dan menyumbangkan derma dengan jumlah yang besar kepada tabung Palestin. Pada masa sama, pihak yang menganjurkan kempen boikot tidak menyediakan pelan tindakan untuk membela nasib pemilik tempatan dan pekerja setempat yang terjejas.

Oleh itu, dalam tindakan boikot terhadap produk syarikat francais di Malaysia yang tidak menyokong serangan Israel ke atas rakyat Palestin perlu dibuat pertimbangan adil dan jernih, bukan sekadar desakan populis, sentimen dan ledakan emosi.

Penulis Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 6:15 AM