Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Bayaran diterima untuk setiap kandungan yang mengandungi ulasan dan kerja promosi bukan sedikit. Sebaliknya, ada yang mencecah sehingga lima angka bagi setiap tugasan.

Bagaimanapun, segelintir pencipta kandungan dan pempengaruh sanggup menolak tawaran itu kerana mengenangkan kesengsaraan saudara Islam di Palestin.

Bukan demi meraih sokongan pengikut namun atas dasar kemanusiaan dan solidariti terhadap Palestin.

Ikuti laporan Harian Metro mengenai kisah tiga pencipta kandungan dan pempengaruh yang berani bersuara di laman sosial mengenai pendirian mereka berhubung isu boikot, tidak gelap mata kerana duit dan terus beri kesedaran kepada pengikut untuk katakan tidak kepada Zionis.

Pernah ditawar wang RM25,000

"Bila orang 'tabur' duit banyak macam itu memang 'goyang' dibuatnya namun apa saya nak jawab depan Allah SWT nanti kalau terima?" kata pempengaruh, Dr Syed Aliff Fauzan Syed Mohamad, 30, ketika menceritakan pengalamannya yang pernah menerima tawaran membuat ulasan produk mencecah lima angka daripada syarikat terkemuka.

Beliau mengakui ia antara tawaran lumayan pernah diterimanya namun mengambil keputusan untuk menolaknya kerana enggan bekerjasama dengan syarikat atau mana-mana jenama pro-Israel.

"Tawaran itu datang selepas wakil syarikat berkenaan menghubungi saya. Syarikat pertama menawarkan tawaran sehingga RM25,000 untuk mempromosikan produk mereka di Instagram (IG) dan TikTok.

"Manakala, syarikat kedua tawarkan RM3,000 untuk dua kali perkongsian di TikTok dan IG.

"Jika nak diri sendiri memang berbaloi kerana jumlah bayarannya besar tapi apabila mengenangkan penderitaan saudara Islam di Palestin, saya tak boleh kompromi jadi ambil keputusan tolak tawaran itu.

"Saya ada cerita juga dengan isteri mengenainya dan dia sokong dengan apa yang saya lakukan kerana faham," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

DR Syed Aliff Fauzan pernah menerima tawaran membuat ulasan produk mencecah lima angka daripada syarikat terkemuka pro-Israel.
DR Syed Aliff Fauzan pernah menerima tawaran membuat ulasan produk mencecah lima angka daripada syarikat terkemuka pro-Israel.

Jauh di sudut hati Dr Syed Aliff Fauzan tidak kesal dengan keputusan dibuat kerana menyifatkan itu yang terbaik sebagai tanda solidaritinya terhadap rakyat Palestin.

Menurut Dr Syed Aliff Fauzan, apa yang dilakukannya juga bertujuan memainkan peranannya sebagai pempengaruh yang harus peka dengan isu semasa dan tanggungjawab memberi contoh baik kepada pengikut.

"Mungkin ada orang beranggapan tak dapat duit itu macam mana nak hidup? Tapi saya yakin dengan Allah SWT dan ada rezeki lebih baik.

"Lagipun, malu rasanya jika tak buat apa untuk saudara Islam di sana tapi promosikan produk pro-Israel jadi ini cara saya untuk tunjukkan tanda bantahan terhadap kekejaman Zionis," katanya.

Enggan dianggap boleh 'dibeli' dengan wang

Meskipun pernah menerima tawaran lumayan mencecah lima angka, pencipta kandungan, Tengku Nur Kamalia Aisyah Tengku Norkamarulhaizan atau mesra disapa Malia tidak gelap mata hanya kerana wang ringgit.

Buktinya, Malia, 24, sanggup menolak tawaran diterima daripada syarikat pro-Israel kerana enggan ada kaitan dengan organisasi menyumbang hasil kepada Zionis.

Menurut Malia, apa dilakukannya mungkin tidak seberapa namun itu sebahagian caranya untuk menunjukkan tanda solidariti terhadap rakyat Palestin yang masih menanggung sengsara akibat kekejaman Israel.

"Sebelum tercetusnya kekejaman Israel di Gaza, saya ada terima tawaran buat ulasan produk kecantikan keluaran syarikat pro-Israel.

"Tapi selepas 7 Oktober lalu, saya segera selesaikan tugas diberi dan tak lagi ambil tawaran mana-mana syarikat yang menyumbang dana kepada Israel.

"Pernah satu ketika, saya terima tawaran RM10,000, malah sampai sekarang masih dapat termasuk undangan ke majlis anjuran mereka, tapi saya tolak secara baik.

"Ada juga cuba hubungi di laman sosial minta kadar harga (untuk bayaran) namun saya tak balas dan rata-rata yang saya tolak terima alasan saya kerana memang berterus terang menolak tawaran mereka kerana tidak menyokong Israel," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MALIA sanggup menolak tawaran diterima daripada syarikat pro-Israel kerana enggan ada kaitan dengan organisasi menyumbang hasil kepada Zionis.
MALIA sanggup menolak tawaran diterima daripada syarikat pro-Israel kerana enggan ada kaitan dengan organisasi menyumbang hasil kepada Zionis.

Malia mengakui ada rasa terkilan kerana tidak dapat terus menjalin kerjasama dengan syarikat terbabit yang kebanyakannya nama besar dalam industri.

"Jujurnya memang gembira kerana dapat bekerjasama dengan syarikat itu sebelum ini kerana peluang dinantikan memandangkan sebahagiannya adalah jenama kegemaran saya.

"Tapi tak pernah sekalipun saya menyesal dengan tolak tawaran diberi, malah ia adalah keputusan saya sendiri tanpa dipengaruhi sesiapa.

"Keluarga dan pihak pengurusan saya faham tapi ada segelintir mengatakan sebaiknya buat saja kerana ia hanya atas dasar kerja dan minta terus berhubung dengan syarikat berkenaan.

"Bagi saya, mungkin seronok jika dapat bayaran tinggi tapi kepuasan itu sekejap saja dan tolak adalah caranya kerana saya tak nak syarikat ada tanggapan saya boleh dibeli dengan wang ringgit," katanya.

Seiring pendiriannya yang menyokong solidariti Palestin, Malia aktif memuat naik perkongsian di laman sosial yang memberi kesedaran mengenai kepentingan boikot produk pro-Israel.

"Saya memang banyak ikut banyak saluran di Telegram bagi mengetahui dan mengikuti perkembangan di Gaza.

"Lazimnya selepas baca dan nampak video berkaitan Gaza, saya akan kongsi semula (repost) perkongsian itu dan banyak bercakap mengenai Palestin dalam video dimuat naik.

"Alhamdulillah, pengikut saya suka walaupun ada yang tak boikot dengan alasan ia pilihan dan mengatakan tindakan itu menjatuhkan ekonomi namun tak ramai.

"Saya faham tak semua sependapat dan jujurnya, saya tak buat (kandungan beri kesedaran) waktu on camera saja, tetapi jadikan gaya hidup sampai ada rakan pun nak ikut sama (boikot)," katanya.

Ubah promosi produk tempatan

Kasihan saya kepada saudara Islam di sana (Palestin) melebihi wang ringgit. Soal duit, saya yakin rezeki Allah itu luas dan boleh dapat daripada sumber lain," kata pencipta kandungan kecantikan, Muhammad Rizwan Abdul Hassan.

Pemuda mesra disapa Wan, 30, itu salah seorang pempengaruh yang menyokong gerakan boikot dengan menolak tawaran ulasan produk yang diterima daripada syarikat serta jenama pro-Israel.

Wan berkata, banyak tawaran ditolak walaupun bayarannya mencecah ribuan ringgit dan datang daripada pelanggan tetapnya.

Menurut Wan, apa dilakukannya bukan kerana 'content' (kandungan) atau statusnya sebagai pempengaruh semata-mata tetapi atas dasar kemanusiaan dan simpati apabila mengenangkan nasib saudara Islam di Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Zionis.

"Sejak lima bulan lalu iaitu ketika mula tercetusnya kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza, saya sudah tolak tawaran diterima daripada syarikat dan jenama pro-Israel.

"Mencabar juga kerana lebih separuh pendapatan saya datang daripada jenama berkenaan yang banyak tawarkan buat ulasan produk sebelum ini.

"Kebanyakan syarikat itu yang biasa berurusan dengan saya namun atas nama kemanusiaan dan solidariti, saya tolak (tawaran) walaupun pernah dapat tawaran bayaran RM1,000 hingga RM3,000 untuk satu video.

"Saya tolak tawaran mereka secara baik dan mereka (syarikat) faham.

"Saya mula tapis sendiri mana-mana tawaran sesuai diambil atau tidak berdasarkan sumber maklumat sahih mengenai produk dalam senarai boikot," katanya.

WAN kini lebih banyak mengambil tawaran mempromosikan produk kecantikan keluaran tempatan.
WAN kini lebih banyak mengambil tawaran mempromosikan produk kecantikan keluaran tempatan.

Menurut Wan, setakat ini, banyak syarikat menawarkannya peluang kerja, kerjasama menerusi kempen dan jualan dengan komisyen. Namun Wan kekal dengan pendirian menolak tawaran berkenaan.

"Tak menyesal pun tolak sebaliknya rasa lebih lega dan percaya apa yang dapat sekarang itulah bahagian saya.

Wan berkata, penerimaan pengikutnya positif malah dia kini lebih banyak mengambil tawaran mempromosikan produk kecantikan keluaran tempatan.

"Hikmahnya gerakan boikot itu saya dapat bantu promosikan pula produk anak tempatan kini makin berkembang dan tak kurang hebatnya.

"Cuma, sebagai pencipta kandungan, saya hanya boleh beri kesedaran kerana apa kita pakai dan promosi orang akan tengok.

"Saya tak boleh larang orang terus beli produk itu (perlu diboikot). Apa yang penting, saya mainkan peranan tidak menyokong produk yang ada kaitan dengan Israel," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 12:01 PM