REAKSI penduduk Palestin ketika usaha mencari dan menyelamat mangsa di kawasan runtuhan bangunan. FOTO Reuters
REAKSI penduduk Palestin ketika usaha mencari dan menyelamat mangsa di kawasan runtuhan bangunan. FOTO Reuters
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Walaupun nampak kecil namun memboikot produk yang berpotensi menyalurkan dana kepada Israel tetap akan memberi kesan kepada rejim zionis laknatullah yang pada masa ini giat mengebom penduduk Palestin terutama di Semenanjung Gaza.

Memasuki minggu ketiga, angkara rejim Zionis tidak berperikemanusiaan melancarkan serangan udara berterusan di Semenanjung Gaza, bumi Palestin itu menyaksikan kemusnahan teruk dan ribuan terkorban termasuk bayi dan kanak-kanak.

Menyedari hakikat itu, guru, Noranorlina Zainal Abidin, 45, berkata, mengelakkan atau terus berhenti membeli serta menggunakan produk syarikat dikenal pasti menyalurkan dana kepada rejim zionis adalah antara usahanya membantu Palestin.

"Usaha kecil saya ialah elak atau berhenti beli produk berkaitan Israel dan tukar kepada beli produk tempatan terutama produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

"Di media sosial, saya cuba bantu promosi produk tempatan dan berkongsi maklumat produk yang tak boleh dibeli kerana membabitkan pengaliran dana ke Israel," katanya.

Beliau berkata dia dan suaminya juga mendidik perkara sama kepada anak-anak mereka bagi membentuk jati diri perjuangan Islam khususnya menyokong pembelaan rakyat Palestin yang sudah sekian lama ditindas penjajah Israel.

DR Syariz Izry Sehat
DR Syariz Izry Sehat

Malah, katanya, apabila berbual isu semasa bersama saudara, rakan, jiran dan komuniti juga akan kaitkan berkenaan kekejaman Israel dan kenapa perlunya usaha memboikot produk syarikat berkaitan rejim zionis itu.

"Jadi diharapkan ia dapat memberikan kesedaran secara tak langsung kepada saudara, kawan, jiran dan komuniti sekitar saya.

"Apa pun setiap individu yang cakna isu Palestin perlu rajin membaca dan menggali maklumat penting berkaitan isu ini dari semasa ke semasa," katanya.

Sementara itu, pakar bedah pediatrik, Dr Syariz Izry Sehat, 47, berkata dia tahu sukar untuk berjihad fisabilillah dengan berperang secara langsung mempertahankan Palestin di bumi anbiya itu daripada serangan zionis.

"Ini jihad ekonomi saya. Tiada pembelian syarikat berpangkalan di Israel yang secara langsung atau tidak langsung menyalurkan keuntungan kepada rejim Zionis.

"Kita perlu cakna dan prihatin mengenai perkara ini. Sokonglah gerakan BDS (Boycott, Divestment & Sanction) atau mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi maklumat berguna.

"Umat Islam yang berjumlah dua bilion perlu bersatu memulaukan barangan 'made in Israel'. Ini senjata kewangan kita! Ayuh jejas dan lumpuhkan ekonomi zionis," katanya.

Melihat betapa deritanya rakyat Gaza pada masa ini, beliau berkata ada menyimpan hasrat membantu secara langsung ke Gaza merawat mangsa terutamanya kanak-kanak Palestin yang jelas menjadi mangsa kegilaan zalim zionis.

Namun pada masa ini, katanya, kemampuan yang ada boleh dilakukan segera ialah dengan memboikot barangan serta perkhidmatan berkaitan Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 2:32 PM