Puteri Sarah
Puteri Sarah

Kuala Lumpur: Pelakon Puteri Sarah Liyana memberi gambaran suaminya yang juga pengarah popular, Syamsul Yusof sudah berkahwin dengan individu yang didakwa sebagai perosak rumah tangganya, Ira Kazar.

Menerusi hantaran dalam Instagram Story miliknya malam tadi, Puteri Sarah dipercayai memerli Syamsul dan Ira.

"Soroklah selagi boleh sorok. Kebenaran akan terbukti suatu hari nanti.

"Narsistik seperti anda akan sentiasa memanipulasi kebenaran. Saya tidak mahu terbabit dengan toksik.

"Penipu akan sentiasa menjadi penipu. Semoga anda berdua berjaya. Dua-duanya toksik," tulisnya.

Menerusi hantaran berasingan dalam Instgram Story, Puteri Sarah turut mendedahkan kecurangan yang berlaku.

"Apa yang saya tahu ia berlaku sehari sebelum Sarah melahirkan Sumayyah. Kejamkan manusia.

"Orang sekeliling kita ada masanya boleh menjadi sangat narsistik dan manipulasi. Pilihlah orang sekeliling dengan bijak.

"Semoga 2023 dapat membongkar semua. Segala-galanya sudah berakhir, hipokrit," tulisnya.

Sementara itu, Puteri Sarah ketika dihubungi bagaimanapun meminta perkara itu diajukan kepada Syamsul.

"Saya rasa soalan ini sepatutnya ditujukan kepada Syamsul dan kekasihnya. Bukan saya, tak perlu saya nak jawab," katanya ringkas.

Dalam pada itu, Puteri Sarah turut memuat naik tangkap layar mesej peribadi yang diberi oleh seorang pengikutnya yang mendakwa Syamsul sudah berkahwin dengan Ira Kazar yang juga anak kepada pelakon senior, Kazar.

Semalam Puteri Sarah memilih untuk mengunci mulut mengenai status rumah tangganya yang masih menjadi tanda tanya sehingga kini.

Puteri Sarah juga tidak boleh menjangka apa yang bakal berlaku, namun berharap ada perkara terbaik untuk dia dan anak-anak.

Terdahulu, kisah kemelut rumah tangga pasangan itu didakwa berantakan kerana kehadiran orang ketiga dan atas sebab itu, mereka turut dikatakan sudah tidak tinggal sebumbung lagi.

Puteri Sarah juga baru-baru ini nekad memfailkan satu tindakan saman di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, berserta dua aduan di pejabat agama terhadap seorang wanita dikenali Ira Kazar.

Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah, 3.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 12:35 PM