Syamsul Yusof
Syamsul Yusof
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Hanya emoji ketawa. Itu jawapan diberikan pengarah filem, Syamsul Yusof, 38, menerusi WhatsApp kepada wartawan selepas ditanya mengenai spekulasi dia sudah melangsungkan pernikahan dengan pelakon, Ira Kazar.

Syamsul turut mengambil pendekatan berdiam diri walaupun ditanya mengenai pembikinan filem terbarunya, The Original Gangster.

Pertanyaan mengenai harapan dan azam tahun baharunya dengan kedatangan 2023 juga tidak dibalas dan dia terus berdiam diri.

Sementara itu, semakan di Instagram Syamsul mendapati dia memuat naik video memaparkan seorang lelaki memandu laju sebuah kereta mewah yang mungkin salah satu pembikinan babak untuk filemnya di Instagram Story.

Sejak semalam, spekulasi mengenai perkahwinan Syamsul dan Ira hangat diperkatakan selepas perkongsian dibuat isterinya yang juga pelakon, Puteri Sarah Liyana, 37, yang seakan memberi bayangan suaminya sudah berkahwin dengan Ira.

Puteri Sarah ketika dihubungi Harian Metro bagi mendapatkan kepastian sama ada dia dimadukan atau tidak meminta Syamsul tampil memberi jawapan.

Tidak hanya Puteri Sarah, jawapan sama turut diberikan bapa Syamsul iaitu penerbit filem dan drama, Datuk Yusof Haslam yang enggan mengulas kontroversi membabitkan anaknya, namun meminta Syamsul yang menjawabnya sendiri.

Ibu Syamsul iaitu Datin Fatimah Ismail menerusi Instagram pula berkongsi hantaran berunsur nasihat mengenai restu ibu bapa itu penting untuk doa yang berterusan buat anak-anak.

Menerusi hantaran itu, Fatimah juga menekankan perkahwinan anaknya, Syamsul dengan Puteri Sarah mendapat restu keluarga sepenuh hati.

Katanya, Syamsul sendiri yang memilih Puteri Sarah sebagai permaisuri hati dan kini mereka dikurniakan sepasang cahaya mata.

Terdahulu, Ira yang juga anak pelakon, Kazar Saisi didakwa menjadi 'orang ketiga' dalam konflik rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah yang dikatakan sudah lama tidak tinggal sebumbung.

Pada Jun lalu, Puteri Sarah juga memfailkan satu tindakan saman di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, berserta dua aduan di pejabat agama terhadap Ira.

Berdasarkan kenyataannya, Ira bakal diheret ke muka pengadilan menjelang Ogos tahun depan.

Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah, 3.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 11:05 AM