MENGAKU rindu peminat Malaysia, bakal jayakan konsert Fabulous Friday presents Tulus tahun depan.
MENGAKU rindu peminat Malaysia, bakal jayakan konsert Fabulous Friday presents Tulus tahun depan.
Ridzuan Abdul Rahman


KONSERT Jelajah Sewindu yang berlangsung di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada Ogos 2019 berjaya membuktikan kehebatan Tulus kepada peminat industri muzik Malaysia.

Tiga tahun berlalu, penyanyi kelahiran Sumatera Barat ini akan kembali ke negara ini untuk menghiburkan peminatnya menerusi konsert Fabulous Friday presents Tulus yang akan berlangsung pada 6 Januari tahun depan.

Ia juga adalah konsert ketiga penyanyi yang popular dengan lagu-lagu seperti Monokrom, 1,000 Tahun Lamanya, Hati-Hati Di Jalan dan banyak lagi di Kuala Lumpur.

"Lama betul tidak bertemu dengan peminat di Kuala Lumpur. Semoga rindu ini menghilang apabila kita bertemu nanti. Kita bakal bergembira dengan persembahan saya serta akan menyanyi bersama-sama," katanya yang juga pemenang kategori Album Pop Terbaik, Artis Solo Pria Pop Terbaik, Album Terbaik dan anugerah Karya Produksi Terbaik Terbaik untuk lagu Hati-hati Di Jalan di Anugerah Muzik Indonesia 2022.

Menurutnya, dia akan menampilkan lagu-lagu dari album Manusia dan lagu-lagu nostalgia album-album sebelumnya buat peminat yang menantikan kemunculannya nanti.

TULUS tidak sabar mahu menghiburkan peminat dengan persembahan terbaiknya.
TULUS tidak sabar mahu menghiburkan peminat dengan persembahan terbaiknya.

Seperti dua konsert terdahulu iaitu Konsert Tulus Live at Istana Budaya dan Konsert Sewindu Tour Kuala Lumpur, Shiraz Projects sekali lagi bertanggungjawab membawa Tulus ke Kuala Lumpur.

Pengarah Urusannya, Shirazdeen Karim berkata, mereka terpanggil dan bertanggungjawab melunaskan kerinduan dan kehendak peminat untuk menyaksikan persembahan hebat Tulus.

"Adalah menjadi tanggungjawab kami membawakan semula Tulus ke Kuala Lumpur. Kita sedia maklum Tulus akan muncul dengan lagu-lagu berkualitinya yang akan dibawakan bersama bandnya yang cukup padat.

"Saya percaya dengan kehadiran Tulus bukan saja akan melunaskan kerinduan peminat tegarnya tetapi juga kita dapat belajar mengenai produksi dan karya yang baik dari rakan seni seberang.

"Perkara seperti ini wajar kita kongsi dan bawakan untuk dipersembahkan bukan saja sebagai hiburan tetapi pengalaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 6:40 AM