Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Leftenan Muda Chan Ming Youn menjadi penuntut tunggal berbangsa Cina yang berjaya menamatkan Latihan Kursus Asas Komando, hari ini.

Min Youn berkata, minatnya untuk menyertai latihan komando itu wujud selepas mengikuti program Askar Wataniah ketika menuntut di Universiti Tunku Abdul Rahman.

Pelajar jurusan perakaunan itu berkata, sebelum ini juga dirinya tidak mempunyai sebarang pengetahuan dalam bidang ketenteraan namun segala-galanya berubah ketika menyertai Askar Wataniah.

"Saya menyertai Rejimen 515 Askar Wataniah dan sejak itu saya dapat segala ilmu, pengalaman dan pengetahuan mengenai bidang ini termasuklah berkaitan Komando.

"Disebabkan mahu mencabar diri, saya sertai latihan asas komando ini dan mahu tunjukkan walaupun saya hanyalah Askar Wataniah tetapi saya juga mampu menjadi seorang Komando," katanya selepas Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Komando Siri AK/1/2024 di Pantai Betutu Laut, Sungai Udang, Melaka.

MING Youn dianugerahkan Beret Hijau ketika Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Komando Siri AK/1/2024. FOTO Facebook Berita Tentera Darat Malaysia
MING Youn dianugerahkan Beret Hijau ketika Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Komando Siri AK/1/2024. FOTO Facebook Berita Tentera Darat Malaysia

Dalam majlis itu seramai sembilan pegawai dengan 60 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) menerima Penganugerahan Beret Hijau Gerak Khas serta Pisau Komando.

Kesemua mereka menerima penganugerahan itu selepas berjaya menamatkan pelbagai peringkat latihan selama 12 minggu.

Dalam pada itu, Ming Youn yang juga dari Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) berkata, beliau akan menambah lagi pengetahuan serta kepakaran sekali gus mampu menjadi pegawai yang berkualiti seterusnya membawa nama baik Komando.

ADI menganugerahkan Beret Hijau kepada Ming Youn. FOTO Facebook Berita Tentera Darat Malaysia
ADI menganugerahkan Beret Hijau kepada Ming Youn. FOTO Facebook Berita Tentera Darat Malaysia

Sementara itu, Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) merangkap Pengerusi Gerak Khas, Mejar Jeneral Adi Ridzwan Abdullah dalam ucapannya mengingatkan pegawai dan anggota Komando untuk sentiasa menjaga keagungan Beret Hijau sebagai imej pengendali pasukan khas yang profesional dan kompeten kerana ia adalah maruah dan kebanggaan Gerak Khas.

"Jagalah maruah Beret Hijau ini daripada dicemari dengan perbuatan yang sia-sia kerana kelak akan merugikan atas segala pengorbanan saudara semua yang bertungkus lumus untuk mendapatkannya.

"Adalah amat malang sekali jika Beret Hijau yang dipakai terpaksa dilucutkan secara keji disebabkan salah laku seperti tidak mematuhi arahan atau melakukan perbuatan yang bertentangan dengan peraturan perkhidmatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 2:29 PM