TULUS. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
TULUS. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Syafil Syazwan Jefri

Bagi penggemar karya muzik dari Indonesia, nama Tulus tentunya tidak asing lagi. Antara lagu dendangannya yang popular di sini adalah Pamit.

Ingin melebarkan lagi sayap seninya selepas popular di negara kelahirannya dan Jepun, Tulus melangkah masuk ke Malaysia.

“Saya pernah ke Malaysia tetapi bukan atas urusan kerja. Jadi, mungkin selepas ini kalau kerap ke sini, akan ada kerjasama terjalin dengan karyawan di sini,” katanya.

Bercerita mengenai perjalanan kariernya, Tulus menyifatkan ia sebagai tujuh tahun yang penuh dengan eksplorasi seni.

“Macam-macam dapat saya teroka sepanjang tujuh tahun bergelar anak seni. Kalau kalian dengar lagu saya daripada album pertama hingga ketiga, ada banyak perbezaan dari segi muzik dan sudut pandang,” katanya.

Tulus turut berkongsi pengalamannya sepanjang mencuri perhatian peminat di negara matahari terbit.

“Di Jepun, industri seninya sangat unik sekali malah negara itu kerap menganjurkan pelbagai festival muzik.

“Saya bertapak di sana sejak 2015 dan sehingga kini sering berulang-alik memenuhi undangan menjayakan persembahan,” katanya.

Kata penyanyi berusia 31 tahun itu lagi, penerimaan di negara itu sangat baik sehinggakan lagunya pernah dihasilkan dalam bahasa Jepun.

“Lagu Sepatu dialih bahasa dan menggunakan judul Kutsu. Di sana, masyarakatnya akan lebih tertarik sekiranya kita menyanyikan lagu dalam bahasa mereka.

“Namun, itu tak bererti saya mengetepikan bahasa Indonesia. Ada juga di beberapa acara, saya sampaikan salam dalam bahasa Jepun dan kemudian menyanyi serta berbicara dalam bahasa ibunda,” katanya.

TULUS. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
TULUS. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Monokrom masuk Malaysia

Album ketiga Tulus berjudul Monokrom sudah menjadi bualan ramai sejak 2017 namun secara fizikal, ia baru saja dibawa masuk ke negara ini.

“Album ini dihasilkan sebagai tanda penghargaan kepada peminat dan mereka yang ada bersama saya sepanjang tujuh tahun melakar nama sebagai penyanyi,” katanya.

Menurut Tulus, ibunya individu yang akan diperdengarkan lagu hasil ciptaannya sebelum meneruskan proses rakaman.

“Ibu orang yang menjadi ‘gatekeeper’. Kalau lagu itu sesuai dan ada potensi, dia akan beritahu saya. Jika sebaliknya, dia akan terus terang dan saya akan melakukan penambahbaikan,” katanya.

Meskipun menghasilkan sendiri semua lagu dalam album Monokrom, Tulus terbuka sekiranya ada komposer yang ingin menyumbangkan lagu kepadanya.

“Saya sentiasa terbuka. Dalam album terdahulu misalnya, ada beberapa lagu yang dihasilkan oleh komposer lain.

“Apa yang menjadi masalah adalah kekangan jarak memandangkan tempat di Indonesia agak jauh antara satu sama lain. Jadi, kalau ada kesempatan, kenapa tidak?,” katanya.

Menjelang 18 September depan, dia akan menghangatkan pentas Istana Budaya menerusi konsert mini pertamanya.

“Saya berharap konsert ini akan menjadi detik bertemu dan mendekati peminat di Malaysia yang selama ini menyokong karya saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 4:11 AM