DATUK Shake kembali hiburkan peminat di ibu negara Disember ini.
DATUK Shake kembali hiburkan peminat di ibu negara Disember ini.
Minda Ranggong


Bila agaknya kali terakhir penyanyi popular era 1980-an, Datuk Shake mengadakan konsert atau showcase di Malaysia?

Tentu ramai yang tidak ingat dan tidak tahu.

Kepada yang merindui aksi penyanyi berpangkalan di Paris ini, Shake atau nama sebenarnya Datuk Sheikh Abdullah Ahmad Bahweres akan mengadakan konsert istimewa iaitu Konsert Datuk Shake di Zepp Kuala Lumpur pada 16 Disember ini jam 8.30 malam.

Lagu-lagu berhantunya seperti Umi, Anugerah Dari Kegagalan, Pulanglah, Lina dan banyak lagi pasti tidak sabar untuk dihayati peminat-peminatnya di sini.

Datuk Shake yang kini berusia 73 tahun berkata, beliau teruja untuk mengadakan konsert di negaranya ini selepas perancangan itu tergendala pada 2020 akibat penularan Covid-19.

"Pada 2020, saya merancang mengadakan konsert jelajah ke seluruh negara dan Asia! Malangnya pandemik merosakkan rancangan semua orang termasuk saya. Tidak sabar untuk membuat persembahan di Zepp KL kerana ia juga salah satu pentas konsert yang terbaik," katanya.

Dalam konsert itu, Datuk Shake akan menghiburkan peminatnya dengan rangkaian lagu-lagu popularnya termasuk menyanyikan lagu dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris dan Perancis.

DALAM usia mencecah 73 tahun, tiada masalah buat Datuk Shake untuk mengadakan konsert.
DALAM usia mencecah 73 tahun, tiada masalah buat Datuk Shake untuk mengadakan konsert.

Beliau juga akan mengembalikan nostalgia muzikal era 70-an hingga kini dengan mempamerkan perjalanan menakjubkan penerokaan kronologi kerjaya muziknya.

Sementara itu, wakil penganjur dari InTour Live Events, Bonor Seen berkata, pihaknya sangat teruja mempersembahkan konsert Datuk Shake yang lagu-lagunya sudah menjadi siulan peminatnya sejak era 80-an dan 90-an.

"Peminat dapat menggamit nostalgia menerusi lagu-lagunya, malah akan terpesona dengan genre pop dan rock yang dipersembahkannya," katanya.

Datuk Shake pertama kali tampil dengan album bahasa Melayu berjudul Kau Bungaku pada 1983. Selain ini, beliau sudah menghasilkan 10 album antaranya Bicara Tentang Cinta, Cinta Dan Hidup dan Chameleon.

Selain menjadi penyanyi Asia pertama yang menjadi terkenal dengan menyanyi dalam bahasa Perancis, Datuk Shake juga diiktiraf kerajaan Perancis kerana mempromosikan bahasa Perancis dan budaya di seluruh Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 6:49 AM