SELEPAS 14 tahun tidak menjejakkan kaki ke Malaysia, Westlife rasa teruja.
SELEPAS 14 tahun tidak menjejakkan kaki ke Malaysia, Westlife rasa teruja.
Zaara Talita


KENANGAN lalu mengusik jiwa! Begitulah yang dapat dirangkumkan melalui persembahan hampir dua jam konsert Westlife The Wild Dreams Concert in Malaysia di Axiata Arena, baru-baru ini.

Kumpulan popular dari Ireland itu memukau lebih 8,000 penonton pada hari pertama sempena dua hari penganjuran konsert itu dengan dendangan lagu-lagu popular mereka antaranya Uptown Girl, Flyimg Without Wings, When You're Looking Like That, Fool Again dan If I Let You Go. Westlife The Wild Dreams Concert in Malaysia.

Kali terakhir Westlife membuat konsert di Malaysia ialah pada 2019 di Stadium Malawati, Shah Alam.

Shane Filan mewakili Westlife meluahkan keterujaan menghiburkan peminat yang sentiasa menyokong perjalanan kerjaya mereka.

"Kami tak sangka dapat kembali ke Malaysia selepas empat tahun. Terima kasih kerana setia menanti kehadiran kami ke sini.

"Biarpun selepas 33 tahun, peminat sentiasa menyokong kerjaya kami sehingga ke hari ini. Bertambah teruja untuk menjayakan siri jelajah konsert biarpun jauh dari negara kami.

"Kami bukan semakin muda, namun enggan membiarkan faktor usia sebagai kekangan untuk memberikan persembahan terbaik," katanya.

Meneruskan kehangatan persembahan, Westlife menyampaikan lagu-lagu lain seperti My Love, Swear It Again, What About Now, I Lay My Love On You dan Seasons In The Sun.

Bukan sekadar membuat persembahan, mereka turut mengajak peminat bergurau dan berkomunikasi dengan aksi-aksi manis mereka sepanjang tempoh konsert.

Tak terasa masa begitu pantas berlalu, malam konsert menghampiri penghujung dengan barisan lagu terakhir iaitu World of Our Own, Hello My Love dan semestinya You Raise Me Up.

Selain Kuala Lumpur, kumpulan yang turut dianggotai Nicky Byrne, Kian Egan dan Mark Feehily itu turut beraksi dalam konsert Westlife The Wild Dreams Tour di Singapura, Taiwan dan Thailand.

Westlife melancarkan album ke-12 mereka, Wildest Dreams yang memuatkan lagu hits termasuk Alone Together, My Hero dan Starlight sekitar November tahun lalu.

Diperkenalkan pada 1998 menerusi lagu Swear It Again, kumpulan ini pernah berpecah pada 2012 selepas 14 tahun bersama. Mereka bagaimanapun, kembali bersatu dengan melancarkan album Spectrum seterusnya menjayakan siri jelajah pada 2018.

"Terima kasih atas sokongan tanpa henti sejak 1999. Kami berempat sangat menghargai kata-kata positif daripada anda. Pada usia 40 tahun, kami masih terus menghiburkan anda semua.

"Setiap lagu yang dipersembahkan ternyata mempunyai makna dan erti tersendiri buat kami. Penyokong Westlife bukan sekadar peminat namun seperti keluarga kami.

"Biarpun jauh dari keluarga, namun terasa seperti dekat dengan kehadiran anda semua pada malam ini," kata Nicky.

Walaupun masing-masing sudah berusia 40-an, mereka yang menukar empat persalinan itu kekal bertenaga. Lebih menarik, muzik turut digubah agar terus menjadi malar segar dan siulan peminat.

Penulis juga sehingga hilang suara apabila turut sama menyanyikan lagu-lagu Westlife.

Pulang dengan hati penuh berbunga, Westlife membangkitkan kembali memori zaman muda remaja majoriti peminat mereka yang kini rata-ratanya berusia 30-an ke atas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 6:45 AM