Pelakon, Syed Aiman Syed Mahmud. FOTO Hazreen Mohamad
Pelakon, Syed Aiman Syed Mahmud. FOTO Hazreen Mohamad
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Syed Aiman Syed Mahmud, 47, merayu kerajaan Kelantan untuk mempertimbangkan cadangan agar pawagam patuh syariah dibenarkan untuk beroperasi di negeri itu.

Syed Aiman berkata, dia berharap kerajaan negeri mendengar permintaan penggiat seni yang mahukan pawagam beroperasi di Kelantan.

Permohonan itu dikemukakan kepada kerajaan Kelantan oleh urus setia majlis makan malam Selebriti dan Anak Seni bersama Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan melalui sesi dialog yang diadakan di Putrajaya, baru-baru ini.

"Semua orang tahu di Kelantan, tiada panggung wayang. Sekarang ini, warga Kelantan kalau mahu menonton wayang, kena pergi Terengganu kerana negeri itu paling dekat.

"Tetapi dengan adanya sesi dialog bersama Exco kerajaan negeri, mungkin kita boleh dapat jawapan dalam usaha mewujudkan panggung wayang di Kelantan.

"Sebenarnya, panggung wayang di mana-mana pun boleh buat, cuma di Kelantan, ada syarat yang perlu dipatuhi.

"Antaranya dulu pernah kata boleh nak bina panggung wayang tapi tempat duduk perempuan dan lelaki diasingkan. Selain itu, pada waktu Maghrib tiada tayangan filem. Syarat seperti itu, bagi saya mudah, kita boleh ikut," katanya.

Sebelum ini, Panggung Lido di Jalan Post Office Lama, Kota Bharu menjadi pawagam terakhir beroperasi di Kelantan sehingga 1996, sebelum dirobohkan setahun kemudian.

Berikutan itu, hampir 25 tahun Kelantan tidak mempunyai panggung wayang dan rakyat negeri itu perlu pergi ke Terengganu untuk menonton filem di pawagam.

Menurut Syed Aiman, dia tidak menyangka permohonannya agar pawagam beroperasi di Kelantan mendapat maklum balas positif daripada kerajaan negeri itu.

"Kerajaan negeri tidak terus tolak cadangan itu. Disebabkan demikian, ada sesi dialog yang membincangkan mengenai kehendak penggiat seni.

"Setakat ini, Alhamdulillah, ada nampak sinar. Alhamdulillah, kerajaan sudah ambil maklum perkara ini. Jadi, dengan kebijaksanaan kerajaan negeri, saya percaya mereka akan mempertimbangkannya.

"Kami cuba mengusulkan perkara ini, namun, keputusan dan kelulusan di tangan mereka," katanya.

Dalam masa sama, Syed Aiman mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menganjurkan majlis makan malam Selebriti dan Anak Seni bersama Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan, di sini.

"Ini adalah satu usaha kerajaan negeri menyokong apa yang dilakukan penggiat seni tanah air," katanya.

Pada majlis terbabit, kerajaan negeri menghulurkan sumbangan RM5,000 kepada keluarga Allahyarham Bob Lokman. Sumbangan itu diserahkan kepada anak keempat arwah Bob, Ahmad Rayyan bersama adiknya Ahmad Lukman, 14.

Selain bantuan kepada keluarga Allahyarham Bob, kerajaan negeri turut menyerahkan peruntukan RM15,000 kepada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Persatuan Artis Veteran Malaysia (PAVM). Sumbangan diserahkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob kepada semua penerima.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 3:30 PM