PELAJAR MAB gembira adanya pawagam AD yang khusus untuk mereka.
PELAJAR MAB gembira adanya pawagam AD yang khusus untuk mereka.
BERTIH jagung antara kemestian ketika menonton termasuklah di pawagam MAB.
BERTIH jagung antara kemestian ketika menonton termasuklah di pawagam MAB.
Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin

Anda kerap ke pawagam? Jika ya, anda tentu biasa bertemu dengan si kaki wayang yang cacat penglihatan. Ya, benar. Individu yang cacat penglihatan bukan saja mengikuti perkembangan dunia hiburan baik dalam mahupun luar negara malah turut ‘menonton’ karya kreatif apatah lagi jika ia cetusan idea pengarah terkenal.

Sememangnya peluang duduk bersama golongan ini dalam satu panggung yang direka khas untuk mereka adalah satu pengalaman yang amat bermakna. Mana tidaknya, itulah kali pertama penulis menonton wayang yang ada penerangan bagi membolehkan penonton cacat penglihatan mengikuti jalan cerita filem yang ditayangkan.

Meskipun hanya sekejap, ia sedikit sebanyak mengetuk minda penulis bahawa masih terlalu banyak perkara yang perlu kita lakukan untuk membolehkan rakan cacat penglihatan menikmati hidup seperti orang normal. Pelancaran panggung wayang untuk golongan cacat penglihatan atas inisiatif Maybank di Kompleks Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) adalah satu permulaan yang mengujakan.

Panggung wayang Maybank-MAB ini amat sederhana, namun ia boleh memuatkan sehingga 180 penonton pada satu masa. Berbanding panggung lain yang canggih, pawagam kecil ini dilengkapi kemudahan yang berbeza, tetapi cukup untuk memenuhi keperluan penontonnya. Pawagam ini satu-satunya di Asia Tenggara menyediakan paparan dengan Penerangan Suara (Audio Described, AD).

Apa istimewanya pawagam AD ini? Di sini ditayangkan filem AD yang dilengkapi dengan imej paparan untuk si cacat penglihatan menerusi keterangan sepanjang filem ditayangkan, selain penerangan pertukaran adegan, persekitaran, pakaian dan pergerakan badan di antara dialog atau lagu.

Menurut Ketua Kumpulan Perbankan Global Maybank, Amirul Feisal Wan Zahir, inisiatif berkenaan sebahagian daripada program sukarelawan kakitangan Perbankan Global (GB) Maybank yang sudah menjalin kerjasama dengan MAB sejak 2013. Ia selaras dengan misi kumpulan untuk menginsankan perkhidmatan kewangan.

Pada awal tahun lalu, MAB menyatakan hasrat untuk menubuhkan panggung wayang penerangan suara di kompleksnya bagi memberikan pengalaman sebenar menonton wayang kepada komunitinya.

Untuk merealisasikan hasrat murni itu, warga bank berkenaan mengadakan beberapa siri program mengumpul dana termasuk menganjurkan karnival mini di Menara Maybank yang disusuli Hari Bersama Insan Cacat Penglihatan pada September lalu.

Wang terkumpul itu dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk membina pawagam AD di dewan serbaguna MAB dan membeli beberapa judul filem Inggeris dari Amazon.com.

Nur Fatin Amani Norizan, 22, antara pelajar di MAB yang cukup teruja dengan inisiatif ini. Mana tidaknya, gadis manis ini mengaku dia dan rakan seasrama kerap menonton wayang untuk menghilangkan tekanan belajar.

“Tentulah saya menyambut baik program ini kerana kini semakin ramai individu cacat penglihatan yang menonton wayang. Bagaimanapun pilihan untuk kami agak terhad. Bagi individu seperti kami filem yang banyak dialog itu lebih sesuai ‘ditonton’. Kami boleh dengar, menghayati dan memahami jalan cerita atau mesej yang hendak disampaikan.

“Filem aksi memang bukan pilihan kerana tidak akan faham, kecuali ada kawan normal yang jadi tukang cerita. Namun, ia boleh mengganggu konsentrasi penonton lain pula,” katanya.

Walaupun boleh berbahasa Inggeris dengan baik, Nur Fatin yang hilang penglihatan akibat kanser otak mencadangkan supaya pawagam AD itu menyediakan filem dalam bahasa lain khususnya bahasa Melayu.

Pendapat ini disokong dua rakannya, Nurul Khairunnisah Hussin dan Haikal Zainoren yang gembira dengan pembukaan pawagam berkenaan.

“Apabila dah ada panggung ini, bolehlah saya buat temu janji menonton dengan rakan yang tidak berpeluang ke panggung wayang di pusat beli-belah. Lebih penting, kita boleh ajak ahli keluarga dan masyarakat setempat untuk menonton bersama. Jadi dengan cara ini, orang normal boleh tahu lebih banyak mengenai MAB dan bagaimana kami menonton,” kata Nurul Khairunnisah sambil tersenyum.

Nurul Kharunnisah yang rabun teruk sejak kecil mengakui dia peminat setia filem Melayu. Tidak hairanlah jika dia tahu filem apa yang sedang hangat di pawagam.

“Hanya itu pilihan yang ada untuk saya. Kalau tengok filem bahasa lain, saya tidak akan faham ceritanya sebab tidak boleh baca sarikata,” sambung pelajar jurusan pengurusan pejabat yang hilang penglihatan ketika berusia 15 tahun.

Haikal pula sudah berura-ura mahu menjemput rakan normal ke panggung Maybank-MAB untuk bersama-sama merasai pengalaman menonton yang berbeza daripada biasa. Seperti Khairunnisah, Haikal juga memilih untuk menonton filem Melayu.

Jika biasanya mereka yang sukarela menjadi tukang cerita untuk Haikal, kali ini biarlah rakannya itu pula menonton sambil dihidangkan dengan penerangan tambahan. Cara ini akan membuatkan mereka lebih memahami keperluan individu seperti Haikal.

“Apabila mendapat tahu pawagam AD ini turut dibuka kepada masyarakat umum, saya rasa gembira. Saya mahu masyarakat tahu bahawa orang cacat penglihatan pun menonton filem juga,” katanya yang dianugerahkan dengan bakat seni boleh bermain gitar dan keyboard.

Malah Haikal juga sering ‘menonton’ perlawanan bola sepak yang ditayangkan di televisyen bersama adik beradiknya. Selain mendengar celoteh komentator atau pengulas sukan, mereka turut menceritakan detik cemas sebelum gol dijaringkan.

Menonton dengan hati

Luahan hasrat Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Datuk Ganesan Supayah menjadi cabaran menarik buat warga Maybank yang sudah menjalin kerjasama dengan pertubuhan itu sejak 2013. Kerjasama mereka bermula dengan usaha sekumpulan kecil sukarelawan menghasilkan gambarajah timbul.

Mereka juga membantu menyediakan bahan yang siap ditaip, rakaman suara untuk pembelajaran secara pendengaran, membacakan berita terkini selain berkongsi topik menarik dengan pelatih di Pusat Latihan Gurney, di Kompleks MAB.

Teruja dengan kemudahan terkini itu, Ganesan berkata, pihaknya akan menyusun jadual tayangan filem di pawagam kecil mereka supaya pelajar boleh menjemput ahli keluarga dan rakan untuk bersama-sama merasai kelainan menonton.

“Kekurangan dari segi penglihatan bukan menidakkan hak insan yang ada masalah penglihatan untuk menikmati tayangan gambar yang didatangkan dengan ciri penerangan audio. Dengan kemudahan yang disediakan, mereka boleh membayangkan jalan cerita dengan mendengar dari hati dan minda.

“Saya sering katakan pada pelajar ini, mereka tidak kehilangan atau kekurangan apa-apa. Dengan adanya pawagam AD ini, pelajar boleh berhibur dalam persekitaran yang selamat dan selesa untuk mereka. Bahkan kemudahan ini juga boleh digunakan untuk tujuan akademik.

“Memang saya menyimpan impian untuk memperluaskan kemudahan ini di beberapa kompleks MAB negeri untuk memberi manfaat kepada lebih ramai orang. Kita juga akan cuba mempelbagaikan judul filem, tetapi buat masa ini, pilihan agak terhad.

“Tidak banyak pengeluar filem yang sanggup bersusah payah memasukkan suara latar bagi menjadikan hasil karya mereka boleh ditonton dan dihayati golongan cacat penglihatan,” katanya.

Mungkin sudah tiba masanya untuk pengkarya tempatan atau mana-mana pihak yang terbabit dalam industri seni merenung sejenak keperluan ini. Tentu saja keperluan setiap golongan kelainan upaya (OKU) berbeza mengikut kekurangan atau masalah yang mereka hadapi.

Bagi penonton pekak atau kurang pendengaran contohnya, mereka bergantung kepada sarikata untuk memahami satu-satu drama atau isu yang dibincangkan dalam rancangan bual bicara. Pujian harus diberikan kepada pihak yang menyediakan sarikata walaupun bagi program berbahasa Melayu contohnya rancangan Kopi Bersama Ustaz Kazim yang disiarkan di TV9.

Untuk penonton cacat penglihatan pula, suara latar ini boleh diumpamakan seperti rencah dalam masakan. Tanpanya makanan terasa hambar dan adakala sajian yang indah rupanya mungkin terlalu sukar untuk ditelan!

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 11:20 AM