Najiy Jefri


Petaling Jaya: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri menghulurkan sumbangan kepada 60 anak penggiat industri kreatif bersempena kembali ke sekolah. 

Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid berkata, program yang julung kali diadakan Finas itu dilakukan bagi membantu meringankan tanggungan penggiat-pengiat seni terutamanya ketika pandemik Covid-19 ini.

"Program seumpama ini adalah kali pertama dibuat di Finas. Kalau di luar program ini biasa dilakukan setiap awal atau hujung tahun bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh-tokoh korporat. 

"Kami mengadakan program ini kerana merasakan anak-anak penggiat seni tak boleh dilupakan. Walaupun ada dalam kalangan masyarakat yang mengatakan Finas tiada kerja lain yang mana sepatutnya kami membangunkan industri perfileman tempatan.

"Bagi saya, itu satu kenyataan yang tak adil sebab dalam masyarakat seni, kita juga manusia biasa yang memerlukan keperluan yang sama. Disebabkan itu, Finas ditanggungjawabkan membangunkan industri perfileman dan dalam pada masa sama membangunkan penggiat seni. Ini bermaksud kami juga menjaga kebajikan mereka," katanya.

ZAKARIA (tengah) bersama  anak-anak penggiat industri kreatif di majlis penyerahan kelengkapan sekolah kepada anak-anak penggiat industri kreatif di FINAS, Petaling Jaya.  FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD.
ZAKARIA (tengah) bersama anak-anak penggiat industri kreatif di majlis penyerahan kelengkapan sekolah kepada anak-anak penggiat industri kreatif di FINAS, Petaling Jaya. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD.

Menurut Zakaria, dia berharap program itu dapat memberi semangat kepada anak-anak penggiat seni menjalani aktiviti persekolahan di sesi 2021 ini. 

"Inisiatif sumbangan ini bertujuan untuk meringankan beban penggiat industri kreatif dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka sempena pembukaan semula sekolah bagi sesi tahun ini.

"Seramai 60 orang anak-anak penggiat industri dari latar belakang keluarga yang memerlukan menerima sumbangan seperti barangan kelengkapan sekolah tajaan GISB Holdings dan Balqis Textiles and Manufacturing Sdn Bhd," katanya  pada majlis penyerahan Back To School di Panggung 1, FINAS, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Perbadanan Finas merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri Finas, Datuk Seri Eizlan Yusof. 

Tidak hanya itu, penyerahan sumbangan turut mendapat kerjasama daripasa barisan rakan strategik CDERT Ohhsem Angkatan Pertahanan Awam, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), dan Yayasan Felda.

Selain itu, pihak yang turut terbabit dalam menjayakan acara ini adalah Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 1:10 PM