AIDIL Aziz teruja dapat berlakon dengan Fasha Sandha dalam Rampas Cintaku. - FOTO Rohanis Shukri
AIDIL Aziz teruja dapat berlakon dengan Fasha Sandha dalam Rampas Cintaku. - FOTO Rohanis Shukri
Najiy Jefri


AIDIL Aziz sentiasa bersikap profesional apabila isterinya yang juga pelakon jelita, Fasha Sandha perlu melakonkan babak 'panas' dan memegang watak sebagai 'sugar mummy' untuk drama terbaharu berjudul Rampas Cintaku.

Aidil berkata, sebagai suami dia memahami tuntutan kerja isterinya itu dan langsung tidak cemburu kerana mereka saling mempercayai antara satu sama lain.

"Saya tidak ada masalah kerana kami sangat profesional. Dalam set dia adalah Datin Safiya, tapi sebaik saja kerja kami berakhir, dia adalah isteri saya dan tiada siapa boleh bawa dia pulang.

"Sebagai pelakon, kami berusaha untuk menghayati dan menjayakan setiap babak dengan baik. Walaupun ada babak dilakonkan isteri membuatkan saya berasa cemburu tapi apa yang lebih penting adalah lakonan sampai pada penonton.

"Sebenarnya saya bukanlah cemburu dengan aksi 'panas' dilakonkan, sebaliknya saya cemburu kerana tidak dapat watak yang dibawakan Afieq Shazwan selaku 'anak ikan' kepada isteri," katanya.

Menurut Aidil, dia percaya setiap pelakon pasti mempunyai pendirian sama iaitu menjaga batasan ketika membintangi sesuatu naskhah.

"Setiap pelakon pasti ingin lakonan sampai dan dapat dijadikan pengajaran serta berharap drama itu boleh menjadi satu fenonema.

AIDIL akui wujud rasa cemburu terhadap isteri namun akur atas tuntutan kerja masing-masing. - FOTO Aizuddin Saad
AIDIL akui wujud rasa cemburu terhadap isteri namun akur atas tuntutan kerja masing-masing. - FOTO Aizuddin Saad

"Apa yang dipaparkan hanyalah lakonan semata-mata, di set kami banyak berbincang bagaimana untuk menghidupkan watak masing-masing. Bagaimanapun kami tetap menjaga batas kerana semua ada pasangan dan kami cuba tidak keterlaluan demi menjaga hati dan perasaan pasangan masing-masing," katanya.

Dalam masa sama, Aidil meluahkan rasa teruja apabila dapat bekerjasama dengan isterinya dalam drama bersiri yang ditayangkan di platform penstriman iQIYI itu.

Aidil yang menjayakan watak sebagai gigolo yang juga bekas kekasih Datin Safieya mengaku banyak menjayakan babak panas dan berani tetapi disebabkan hubungan suami isteri, maka tiada masalah untuk menjayakannya.

"Berpeluang bekerjasama dengan isteri adalah satu peluang yang menarik. Bukan senang kami dapat bekerja di dalam satu drama yang sama, walaupun dia bukan isteri saya sebaliknya menjadi isteri kepada Zarul Husin dan kekasih Afieq, tetapi saya tetap seronok.

"Saya tak pernah membawakan watak gigolo tapi saya bersyukur dapat bergandingan dengan isteri sebab kami sangat serasi," katanya.

Aidil memegang watak sebagai Syahrul, bekas teman lelaki kepada Datin Safieya yang toksik.

Syahrul mampu membuatkan ramai wanita cair tatkala melihat ketampanannya dan sering dikelilingi wanita-wanita kaya.

Rampas Cintaku dilancarkan secara global di platform iQIYI dan iQIYI International merentasi 191 negara dan wilayah pada 23 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 6:46 AM