Oleh Nor Akmar Samudin


Meskipun Mohd Aidil Abdul Aziz , 28, mula berlakon pada 2010, namun namanya hanya menjadi sebutan selepas muncul dalam drama Saiful Nita dua tahun kemudian.

Menerusi drama yang turut dibintangi Kilafairy itu, banyak pihak mula nampak bakatnya. Ternyata, langkah Aidil kini semakin selesa apabila tawaran datang bersilih ganti.

Lebih dikenali menerusi watak antagonis, jejaka itu tidak kisah sekiranya terus dilambakkan karakter serupa. Dek menyerlah dengan watak gelap dalam drama Cinta Ibadah, pengarahnya, Mazri Mustafa atau Ayie sekali lagi melamar Aidil membintangi drama Menongkah Kasih terbitan Sha’s Media Sdn Bhd yang baru sahaja selesai penggambaran.

Menongkah Kasih akan disiarkan di slot Azalea (TV9) bermula 26 Januari 2016, jam 8.30 malam dan akan diulang siar di TV3, jam 2 petang, seminggu selepas itu.

“Ayie mahu saya bawa watak antagonis dalam drama ini. Lebih menarik, nama watak itu sama dengan nama saya.

“Aidil dilahirkan dalam keluarga susah dan bekerja di ladang. Dia rela menjadi ‘pak sanggup’ kepada Riyana lakonan Ayda Jebat yang hamil anak luar nikah semata-mata kerana duit.

“Pertama kali baca skrip, terfikir juga mahu minta pengarah tukar nama itu. Namun apabila memikirkan ia hanyalah lakonan, saya rasa tak mengapa,” kata Aidil yang mengakui dirinya tiada pakej lengkap dan bukan ‘kaki kipas’ sebaliknya menjual bakat serta membina hubungan baik dengan orang sekeliling untuk mendapatkan tawaran kerja.

Menurut Adil, Ayie mengambilnya beraksi dalam Menongkah Kasih kerana percaya dia mampu menjiwai watak Aidil dengan baik.

“Saya terharu dengan kepercayaan yang diberikan Ayie. Dulu saya risau bawa watak gelap, tetapi kini tidak lagi kerana sedia maklum pengarah tahu di mana kekuatan saya.

“Lagipun setiap watak tidak sama pembawaannya dan ia bergantung pada skrip. Jadi saya boleh mewarnai watak mengikut situasi.

“Sebagai pelakon saya bukan hanya hafal skrip, tetapi menghayati jalan cerita dan setiap baris dialog.

“Saingan ramai jadi kita mesti buat lebih baik daripada orang lain. Semua orang boleh berlakon, tetapi apa yang membezakan adalah sejauh mana mereka mengupas watak yang diberikan agar dapat dirasai penonton,” katanya.

Aidil berkata dia tidak terkilan terpaksa menunggu lama untuk berada di tahap sekarang.

“Kadangkala puluhan drama kita berlakon hanya satu dua saja yang perasan kewujudan kita. Saya tidak pernah putus asa sebaliknya bekerja dengan konsisten dan sentiasa berikan yang terbaik.

“Saya percaya lama-kelamaan orang akan nampak bakat saya dan itulah yang berlaku. Alhamdulillah, kini saya sudah boleh menarik nafas lega,” katanya yang bermula dengan drama Akademi Polis arahan Yusof Kelana dan kemudian berpeluang tampil jadi teraju utama dalam drama Bola Cinta sebagai pemain bola sepak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 11:08 AM