Norhayati Nordin


TATKALA nama pelakon Aidil Aziz disebut-sebut, pasti tak dilupakan isteri tercintanya yang juga pelakon popular, Fasha Sandha.

Kebahagiaan pasangan sejoli ini nyata menjadi tumpuan peminat di media sosial.

Apatah lagi, pada ketika aktiviti seni seperti penggambaran drama masih ada kekangan, Aidil, 34, mengakui masanya kini dihabiskan bersama keluarga di rumah terutama membantu isteri mengurus anak-anak.

Hadir pada sidang media secara dalam talian drama lakonannya, Suara Hati, baru-baru ini, Aidil berkata, dia keluar rumah hanya untuk urusan penting saja. Namun, sepenuh masanya tetap di rumah melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga.

"Alhamdulillah, apabila sudah berkeluarga ini tak ada rasa bosan sangat pun duduk di rumah kerana kami sentiasa memastikan ada aktiviti dilakukan dengan anak-anak selain memantau sesi pembelajaran mereka.

"Ditambah lagi, menjadi tanggungjawab kami memastikan anak-anak kekal gembira duduk di rumah kerana mereka sudah berkurung dalam tempoh lama akibat penularan Covid-19 ini.

"Kasihan juga dengan anak-anak kerana mereka tidak boleh keluar ke mana-mana. Jadi, saya dan isteri biasanya akan membuat pelbagai aktiviti bermanfaat. Selain solat bersama, kami akan menonton televisyen, bersenam dan melakukan bermacam aktiviti lagi," katanya.

Berbicara mengenai kerjaya seninya, Aidil berkata, apabila sudah lama tidak keluar bekerja, memang terasa rindu dengan aktiviti penggambaran. Apatah lagi, ada projek drama yang masih ditangguhkan penggambaran.

"Saya rindukan suasana kerja di lokasi yang dulu kerana kita bebas bekerja. Tapi, sejak Covid-19 melanda negara sejak tahun lalu, cara bekerja di lokasi penggambaran mengikut norma baharu dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Banyak kekangan ketika penggambaran terutama ketika nak melakonkan babak-babak tertentu. Jadi, sebagai pelakon memang kena kreatif untuk menghasilkan sesuatu babak itu supaya tak nampak janggal.

"Malah, yang lebih utama memastikan jalan cerita hendak disampaikan kepada penonton tidak tergantung. Situasi bekerja ketika pandemik ini sangat memberi cabaran besar dalam pasukan produksi," katanya.

Aidil bersyukur rezekinya dalam kerjaya lakonan tidak pernah putus.

Dalam masa sama, dia juga akan meneliti watak dan jalan cerita sebelum menerima sesuatu tawaran berlakon itu.

"Setakat ini, alhamdulillah kebanyakan watak yang saya lakonkan sesuai dan jalan ceritanya juga menarik. Apa yang pasti, saya cuba memberi yang terbaik untuk setiap watak dilakonkan.

"Sama ada watak utama, pembantu atau antagonis, ia tidak menjadi masalah bagi saya kerana akan pastikan faham tuntutan wataknya. Malah, saya juga selesa berbincang dengan pengarah dan rakan pelakon lain," katanya.

Aidil mendirikan rumah tangga dengan Fasha pada 28 Mac 2019 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Aisha Amaira yang kini berusia 11 bulan.

Selain itu, Fasha juga memiliki dua anak daripada perkahwinan terdahulunya.

KELUARGA bahagia, Aidil bersama isteri, Fasha dan anak-anak.
KELUARGA bahagia, Aidil bersama isteri, Fasha dan anak-anak.

Tumpu perniagaan

Tidak menafikan situasi ketika ini turut menjejaskan pendapatannya terutama dalam kerjaya lakonan, namun Aidil merasakan dia masih bernasib baik.

Katanya, ketika ramai penggiat seni terkesan dan kehilangan pekerjaan, mujur dia ada beberapa perniagaan yang diusahakan.

"Jika saya nak terus bertahan dengan pendapatan berlakon, rasanya agak sukar. Mujurlah saya ada perniagaan sendiri yang sudah diusahakan sebelum ini. Jadi, pendapatan daripada hasil perniagaan itu yang membantu menampung kehidupan saya sekeluarga," katanya.

Mengharapkan pandemik Covid-19 akan berakhir, Aidil berkata, dalam keadaan sekarang hanya mampu untuk terus berdoa dan memohon perlindungan daripada Allah untuk seisi keluarga. Selain itu, perlu juga mendapatkan suntikan vaksin yang disediakan.

"Harapan saya semoga negara kita dapat keluar dari kemelut pandemik berbahaya ini. Malah, kita semua dapat menjalani kehidupan biasa semula walau dalam norma baharu yang lebih baik dan selamat berpandukan SOP," katanya yang melakonkan watak Naim, kaunselor di universiti dalam drama Suara Hati.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 6:00 AM