Antara babak dalam siri Rampas Cintaku.
Antara babak dalam siri Rampas Cintaku.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Siri original tempatan yang dibawakan platform penstriman Asia, iQIYI berjudul Rampas Cintaku meraih 60 juta tontonan di platform terbabit dan media sosial sejak mula ditayangkan pada 23 September lalu.

iQIYI juga menjadi platform video premium nombor satu hasil laporan yang dikeluarkan Asia Video Content Dynamics 2022.

Rampas Cintaku mengisahkan Datin Safieya (lakonan Fasha Sandha) mengupah Rizal (lakonan Afieq Shazwan) sebagai tutor kepada anak perempuannya dan secara tidak langsung membawa 'hubungan' mereka ke kediamannya dengan Datuk Jefri (lakonan Zarul Husin).

Rizal iri hati melihat interaksi antara Jefri dan Safieya dengan anak perempuannya yang seolah-olah seperti 'keluarga bahagia'.

Perasaan cemburu Rizal semakin menebal apabila terpaksa menahan perasaannya ketika melihat kemesraan yang ditunjukkan Jefri terhadap Safieya sehingga hubungan mereka nyaris terbongkar apabila Jefri terdengar perbualan mereka.

Dalam masa sama, episod terbaharu turut membongkar watak Ayuni (lakonan Erynn Abdullah) yang berdepan masalah apabila rakan sekerjanya mengugut untuk mendedahkan hubungan sulitnya dengan Jefri.

Dalam pada itu, Mak Ngah (lakonan Zarynn Min) mula membuat spekulasi Rizal sebenarnya menjadi 'anak ikan' selepas terdengar perbualan jirannya, namun dia tidak mahu mengeruhkan keadaan memandangkan Mak Ngah menikmati kehidupan mewah hasil daripada 'kerjaya' Rizal itu.

Siri ini bakal ditayangkan selama 14 episod dengan plot twist yang dipenuhi dengan dendam, godaan dan pendedahan berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 4:41 PM