CURI masa hasilkan single sendiri walaupun sibuk berkarya untuk penyanyi lain.
CURI masa hasilkan single sendiri walaupun sibuk berkarya untuk penyanyi lain.
Zaara Talita


KERJAYA seni ditempuh Yuka Kharisma ibarat melayari samudera berombak yang ada pasang surutnya.

Bermula sebagai peserta separuh akhir program realiti Indonesian Idol musim kelima, pelayaran seninya kemudian berlabuh di negara ini pada 2008.

Apa yang sudah dilaluinya selama ini bukan mudah, apatah lagi kerana faktor jarak yang memisahkan kasih antara dia dengan keluarga tercinta di Indonesia.

Terbaharu, Yuka kembali mempesonakan halwa telinga dengan suara lunaknya menerusi lagu berjudul Terpatri Di Hati ciptaan bersama suaminya, Ahmad Jeffny Kamar.

"Idea di sebalik lagu ini datangnya daripada suami saya. Dia yang bertanggungjawab menulis lirik dan mencipta komposisinya.

"Sudah lama saya mendambakan sebuah lagu 'power ballad' yang bertemakan klasik, jadi apabila mendengarkan demo buat pertama kali, hati terus terpaut.

"Terpatri Di Hati sebenarnya menceritakan kisah kesetiaan seseorang dalam perhubungan yang melampaui batas atau tidak bersempadan sehingga tidak mampu untuk meneruskan kehidupan seperti biasa," katanya.

Penyanyi kelahiran Aceh, Indonesia ini mencuri masa untuk menghasilkan single sendiri walaupun sibuk berkarya untuk penyanyi lain.

Sebagai penghibur, ibu kepada seorang cahaya mata lelaki itu sangat mementingkan rasa dalam setiap karya yang dinyanyikan atau hasil ciptaannya sendiri.

"Saya sememangnya cintakan muzik dan muzik ciptaan saya adalah berpaksikan pengalaman sendiri dan 'tentang rasa' saya.

"Sebagai pengkarya, muzik adalah medium buat saya untuk mengekspresikan diri sambil menghiburkan pendengar melalui penceritaan muzikal saya.

"Saya menikmati setiap proses pembikinan muzik selain dapat belajar dan bekerjasama dengan pemuzik hebat tempatan dan luar negara," katanya.

Yuka mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Jeffny pada Mei 2016. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Ahmad Avisenna yang kini berusia lima tahun.

Single pada kali ini masih dalam genre pop balada yang sememangnya sinonim dengan Yuka kerana kesesuaian vokalnya dalam membawakan karya sebegini.

Berkongsi lanjut mengenai video muzik Terpatri Di Hati, Yuka berkata, jalan cerita berkenaan berkisar mengenai sepasang kekasih, namun lelaki berkenaan hilang tanpa khabar berita secara tiba-tiba.

"Jalan ceritanya adalah mengenai sepasang kekasih yang saling mencintai, namun tiba-tiba lelaki itu menghilang tanpa berita begitu saja.

"Sekian masa berlalu, tiba-tiba pada suatu hari tanpa sengaja wanita itu melihat lelaki itu bahagia bersama wanita lain dan mengapa lelaki itu menghilang sedangkan cinta masih ada? Jawapan kepada persoalan itu pada penghujung video muzik berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 6:50 AM