PERNAH merancang bawa ibunya menetap di Malaysia namun situasi pandemik jadi penghalang.
PERNAH merancang bawa ibunya menetap di Malaysia namun situasi pandemik jadi penghalang.
Syafil Syazwan Jefri

PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia bukan saja membantutkan banyak aktiviti dan memberi kesan kepada kesihatan masyarakat. Malah, turut menjadi 'jarak' yang tak terlihat sekali gus 'memisahkan' keluarga lebih-lebih lagi buat mereka yang merantau.

Bagi penyanyi dan komposer, Yuka Kharisma, Covid-19 menjadi 'penghalang' besar buatnya dan keluarga di Bandung, Indonesia.

Dek kerana kewujudan pandemik ini, Yuka 'terpisah' oleh jarak dengan ibunya yang menetap sendirian sekali gus menimbulkan rasa gusar dan gundah dalam hatinya selaku anak.

"Sudah dua tahun saya tak bertemu dengan keluarga terutama ibu. Sehingga hari ini, kami hanya mampu berhubung menerusi panggilan video untuk mengubat kerinduan.

"Banyak perkara yang menimbulkan kebimbangan dalam hati saya kerana ibu menetap sendirian. Ada adik-beradik lain di Indonesia, tapi mereka tinggal agak jauh," katanya.

Pernah merancang untuk membawa ibunya menetap di Malaysia, Yuka tidak pernah menyangka bahawa situasi yang berlaku hari ini akan menjadi penghalang buatnya.

"Sebelum ini, kami ada merancang untuk membawa ibu saya menetap di Malaysia. Tapi, pada ketika itu, dia belum mencecah usia 60 tahun dan belum cukup syarat untuk memohon Pas Lawatan (Sosial) Jangka Panjang.

"Sekarang dia sudah berusia 60 tahun. Namun, pandemik pula berlaku dan hasrat itu tidak dapat dilaksanakan buat ketika ini. Jadi, di situ saya risau akan keadaannya.

YUKA akan melancarkan single terbaru berjudul Melihatmu Bahagia hasil ciptaan sendiri pada 27 Ogos ini.
YUKA akan melancarkan single terbaru berjudul Melihatmu Bahagia hasil ciptaan sendiri pada 27 Ogos ini.

"Di sana, ada beberapa saudara mara saya yang dijangkiti Covid-19. Bahkan, ada bapa saudara saya yang meninggal dunia akibat virus ini," katanya.

Berkongsi mengenai karier seninya, Yuka kini baru sahaja menandatangani kontrak bersama syarikat pengurusan Rocketfuel Entertainment sejak Jun lalu.

"Sekarang, saya baru saja menandatangani kontrak bersama Rocketfuel Entertainment, bukan sahaja sebagai penyanyi, tetapi juga sebagai komposer.

"Insya-Allah, pada 27 Ogos ini saya akan lancarkan single terbaru berjudul Melihatmu Bahagia, ciptaan saya sendiri.

"Secara ringkasnya, Melihatmu Bahagia saya tujukan kepada ibu dan juga mengisahkan mengenai kasih sayang ibu dengan anak. Sesuai dengan situasi sekarang dan saya juga bergelar ibu, jadi saya dapat menjiwai lagu ini.

"Selain itu, saya rasa ia juga sesuai untuk kisah kasih sayang yang lebih meluas dan saya yakin, ia dapat menyentuh jiwa setiap yang mendengarnya," katanya.

Berkongsi mengenai persiapan untuk pelancaran single baru itu, Yuka juga tidak menafikan berdepan beberapa cabaran akibat pandemik.

"Sekarang, cabaran besarnya adalah kerana kita tak dapat menjalani penggambaran di luar. Jadi, saya baru saja selesai merakamkan video lirik untuk lagu ini di rumah saja.

"Dari segi promosi, saya dan syarikat pengurusan akan gunakan apa yang kami ada contohnya media sosial dan sebagainya.

"Tak ada pilihan lain, kalau saya nak lancarkan lagu selepas pandemik ini tamat, kita pun tak tahu sampai bila. Saya pun dah lama tak keluarkan karya baru. Jadi, saya rasa ini masa yang sesuai," katanya.

Selain itu, Yuka juga berkongsi mengenai aktivitinya sepanjang berada di rumah dan bekerjasama dengan suaminya yang juga pemuzik, Ahmad Jeffny Kamar.

"Di rumah, aktiviti saya sekarang lebih ke arah penerbitan dan ada beberapa projek 'jingle' yang saya dan suami sudah terbitkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 6:35 AM