SENTIASA bersyukur keluarga di Palembang berada dalam keadaan baik.
SENTIASA bersyukur keluarga di Palembang berada dalam keadaan baik.

Syafil Syazwan Jefri

[email protected]

SELEPAS lima tahun menetap dan berkeluarga di Malaysia, sudah tiba masanya buat penyanyi dan pelakon Indonesia, Tya Arifin untuk memulakan semula langkahnya dalam industri muzik.

Mengumpul pelbagai memori dan dituangkan dalam karya lagu berjudul Bagaikan Mutiara, Tya kini hadir dengan single sulungnya itu yang juga menjadi single pertamanya di Malaysia.

Mengecap kehidupan bahagia bersama keluarga dan berjaya dalam perniagaan, Tya kini bersiap sedia untuk mewarnai industri seni suara menerusi lagu baharu ini.

"Karya ini umpama kompilasi kehidupan saya sendiri. Bagaimana perjalanan saya dari Palembang, mengenali suami, Asyraf Khalid ketika di Jakarta, seterusnya berumah tangga dan kini menetap di Malaysia. Semuanya saya sampaikan dalam bentuk lagu," katanya.

Membuka sesi temu bual di majlis pelancaran video muzik Bagaikan Mutiara, Tya mengakui banyak impiannya yang berjaya dicapainya hari ini.

"Mungkin ramai yang mengenali saya sebagai ahli perniagaan, isteri dan ibu. Namun, sepanjang perjalanan kehidupan dan karier saya itu, banyak cabaran serta memori indah yang saya pahatkan.

"Pada masa sama, banyak impian yang saya cuba capai sepanjang perjalanan itu. Apabila difikirkan semula, sudah lima tahun saya di Malaysia dan tiba masanya untuk saya mulakan semula karier nyanyian saya," katanya.

Bagi memudahkan pemahaman untuk menghasilkan lagu ini, Tya bekerjasama dengan pasangan komposer iaitu Ahmad Jeffny dan Yuka Kharisma.

"Yuka adalah kenalan saya dan kebetulan jalan cerita kehidupannya juga ada sedikit persamaan dengan saya. Dia adalah orang Indonesia yang berkahwin dengan orang Malaysia, sekali gus menetap di sini dan berkarya.

"Untuk lirik pula, suami saya turut mencurahkan idea di samping mendapat kerjasama daripada Yuka dan suaminya, Jeffny," katanya.

Menantu Datuk Khalid Mohd Jiwa dan Datuk Seri Siti Nurhaliza ini juga meluahkan rasa syukur apabila impiannya untuk menghasilkan single turut mendapat sokongan mereka.

"Mak Iti (Siti) adalah sumber inspirasi saya dan saya yakin, bukan saya sahaja yang mengidolakannya. Setiap kali melihat dia tampil membuat persembahan, saya jadikannya sebagai contoh.

"Di rumah, kami sekeluarga memang suka berkaraoke. Alhamdulillah, apabila saya meluahkan hasrat untuk keluarkan single, Mak Iti dan Ayah (Khalid) sentiasa menyokong dan mendoakan yang terbaik," katanya.

Ditanya mengenai statusnya yang sentiasa dilabel sebagai 'menantu Siti Nurhaliza', Tya tidak menolak mengenai perkara itu.

"Saya tak ada masalah mengenai label itu kerana saya memang menantunya, isteri kepada Asyraf dan ibu kepada anak-anak kami," katanya.

Bercakap mengenai krisis pandemik Covid-19 yang melanda dunia, Tya berkongsi rasa rindunya kepada keluarga di Palembang.

"Saya rindukan Palembang dan keluarga besar di sana. Bagaimanapun, saya sentiasa bersyukur kerana mereka semua berada dalam keadaan baik.

"Apa yang berlaku bukan kehendak kita. Sebagai manusia, kita hanya boleh terima dengan reda dan sabar. Apa yang saya belajar mengenai krisis ini adalah kita perlu sentiasa belajar untuk bersyukur," katanya.

Tentunya, Tya sentiasa mengharapkan kehadiran single baharunya ini dapat mewarnai industri muzik tanah air, sekali gus diterima dengan baik pendengar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 6:00 AM