VIDEO lirik Melihatmu Bahagia ringkas, namun menyentuh jiwa.
VIDEO lirik Melihatmu Bahagia ringkas, namun menyentuh jiwa.
Syafil Syazwan Jefri


Karya terbaharu yang kini mula meraih perhatian ramai adalah single berjudul Melihatmu Bahagia ciptaan penyanyi dan komposer, Yuka Kharisma.

Sejujurnya, karya ini sekali lagi membuka mata saya untuk melihat bakat yang ada dalam diri pemuzik kelahiran Indonesia yang menetap di Malaysia ini.

Sejak pertama kali saya mendengarkan lagu dalam albumnya yang pernah dilancarkan beberapa tahun lalu, saya nampak dengan jelas sekali hala tuju Yuka dalam arena muzik tanah air.

Menariknya, kali ini bukan saya sahaja yang terpesona dengan karya terbaharunya ini, bahkan ia turut mencuri perhatian ramai peminat muzik dan barisan penyanyi tanah air.

Buktinya, ramai yang 'menyertai' Yuka dengan berduet secara maya di beberapa platform media sosial seperti TikTok dan Instagram.

Rata-rata memberikan komen positif dengan karya ciptaannya di samping nukilan lirik yang ditulis bersama suami, Ahmad Jeffny.

Bercerita mengenai lagu, berdasarkan apa yang pernah dijelaskan oleh Yuka, Melihatmu Bahagia menterjemahkan rasa rindunya kepada ibu tercinta yang kini berada di Indonesia sendirian.

Pada masa sama, karya ini juga mampu memberi interpretasi berbeza buat setiap pendengar memandangkan liriknya yang bersifat universal.

Bagi saya sendiri, interpretasi saya tatkala mendengar karya kali ini mungkin berbeza berbanding pendengar lain.

Saya membayangkan luahan satu watak yang ingin melakukan apa saja, bahkan memberikan segala yang ada di dunia untuk membuat orang tercintanya rasa bahagia.

Pada masa sama, saya dapat mendengar dengan jelas sekali rintihan watak itu yang mungkin tidak punya masa yang lebih lama untuk bersama orang tercinta.

Dari segi susunan muzik, Melihatmu Bahagia masih mengekalkan identiti muzik Yuka yang benar-benar berkualiti.

Ia satu karya balada berentak 'mellow' yang membuai jiwa dan jika ada yang mendengarnya dengan hati, mampu menitiskan air mata tanpa disedari.

Ada beberapa bahagian dalam lagu ini seperti mengingatkan saya kepada karya dari Indonesia contohnya, lagu dendangan penyanyi, Tulus.

Muzik videonya belum lagi dilancarkan, namun pihak label dan Yuka sendiri sudah melancarkan video liriknya yang ringkas, namun menyentuh jiwa.

Lagu: Melihatmu Bahagia

Penyanyi: Yuka Kharisma

Komposer: Yuka Kharisma

Lirik: Yuka Kharisma dan Ahmad Jeffny

Terbitan & edaran: Rocketfuel Entertainment, Universal Music Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 6:45 AM