FILEM You People memaparkan pertembungan antara budaya dan agama.
FILEM You People memaparkan pertembungan antara budaya dan agama.
Syafil Syazwan Jefri


FILEM: You People

PENGARAH: Kenya Barris

PENULIS SKRIP: Kenya Barris dan Jonah Hill

PELAKON: Jonah Hill, Lauren London, Eddie Murphy, David Duchovny, Nia Long dan Julia Louis-Dreyfus

TERBITAN: Khalabo Ink Society, Strong Baby dan Misher Films

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

MENELITI senarai dan deretan filem terbaharu di Netflix, mata saya tertarik kepada satu filem berjudul You People.

Melihat kepada genrenya iaitu romantik komedi, saya meneliti senarai nama pelakon dan salah satunya adalah Eddie Murphy. Itu sudah cukup membuatkan saya tertarik untuk menekan butang 'play'.

Secara ringkasnya, You People berkisar mengenai kisah percintaan antara Ezra lakonan Jonnah Hill dengan Amira Mohammed lakonan Lauren London.

Jadi, di mana kedudukan Eddie Murphy dalam filem ini?

Berikut saya senaraikan lima sebab kenapa anda perlu menonton filem You People:

1. Filem ini menyentuh isu perkauman. Ketika melihat perkataan isu perkauman, tentunya rata-rata akan berfikir mengenai perkara negatif membabitkan kaum. Namun, ia berbeza dalam filem arahan Kenya Barris ini.

2. Seperti yang saya jelaskan, antara yang menarik perhatian saya adalah kewujudan nama Eddie Murphy. Dalam filem ini, Murphy memegang watak sebagai Akbar Mohammed iaitu bapa kepada Amira. Saya yakin ini menjadi daya penarik buat anda untuk menonton lebih-lebih lagi apabila watak dimainkan adalah sebagai seorang Muslim.

3. Filem ini mempamerkan pertembungan antara budaya dan agama. Keluarga Ezra adalah keluarga berkulit putih dan beragama Yahudi manakala keluarga Amira pula adalah keluarga berkulit hitam dan beragama Islam. Jadi, kita dapat lihat bagaimana pengarah menggarap jalan cerita dan mengembangkan kedua-dua elemen ini.

MURPHY (kiri) sebagai Akbar dan Hill (tengah) pegang watak Ezra.
MURPHY (kiri) sebagai Akbar dan Hill (tengah) pegang watak Ezra.

EZRA lakonan Hill (kiri) dan Lauren sebagai Amira.
EZRA lakonan Hill (kiri) dan Lauren sebagai Amira.

4. Perkahwinan campur. Ia bukan perkara baharu ataupun tidak normal. Namun, kita sebagai penonton di Asia lebih-lebih lagi di Malaysia dapat melihat bagaimana perkahwinan campur antara bangsa dan agama di Amerika Syarikat digambarkan dalam filem ini.

5. Saya berasakan filem ini begitu dekat dengan jiwa masyarakat kita. Jiwa masyarakat kita itu maksud saya adalah jiwa masyarakat hari ini yang mana menjadikan teknologi sebagai platform untuk berkongsi luahan rasa dan pendapat mengenai sesuatu isu. Ini ditegaskan dalam otak Ezra di mana dia sanggup berhenti daripada kerjayanya dalam bidang hartanah untuk meneruskan impiannya dalam bidang penyiaran podcast.

Itu adalah lima perkara yang saya rasa mungkin menarik perhatian anda untuk menonton filem ini. Namun, sebagai penonton Melayu yang juga Muslim, saya bmerasakan ada sesuatu yang mungkin terpesong daripada apa yang saya sendiri faham.

TANGGAPAN SALAH MENGENAI ISLAM

Saya faham, ia mungkin sekadar jalan cerita dalam filem. Namun, jelas sekali, ingin saya tegaskan bahawa filem You People ini langsung tidak mencerminkan imej Islam secara tepat.

Contohnya, watak Amira tinggal serumah atau bersekedudukan dengan kekasihnya walaupun belum bernikah.

Perkahwinan campur digambarkan sebagai sesuatu yang terbuka di mana kedua-dua pasangan pengantin boleh menjalankan upacara perkahwinan mengikut adat masing-masing dan bukan dengan memeluk satu agama.

Ketika babak meraikan majlis perkahwinan, dengan terbuka dan bangganya mereka menggambarkan bahawa minuman keras itu umpama minuman ringan yang boleh dihidang seperti biasa.

Apa pun, ini sekadar pendapat saya. Yang pasti, filem ini antara filem yang menghiburkan untuk awal tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 6:49 AM