STEVE Yap mengarahkan filem sulungnya, Adoiii Jiwaku.
STEVE Yap mengarahkan filem sulungnya, Adoiii Jiwaku.
Syafil Syazwan Jefri

Pelakon dan pengarah filem Adoii Jiwaku, Steve Yap terkilan apabila salah seorang pelakonnya, Allahyarham Adibah Noor tidak sempat menonton filem itu yang akan ditayangkan mulai 7 September ini.

Steve berkata, Adibah yang meninggal dunia pada 18 Jun tahun lalu akibat kanser ovari itu adalah salah seorang pelakon impiannya untuk berlakon dalam filem itu.

Apatah lagi, Steve perlu menunggu selama empat tahun sebelum filem itu dapat ditayangkan.

"Ketika saya menulis cerita ini, saya menyimpan impian untuk mengambil Adibah berlakon dalam filem ini. Semuanya kerana saya adalah peminat filem Sepet yang turut dilakonkannya.

"Pada mulanya saya tak pasti sama ada dia akan terima tawaran saya atau tidak. Akhirnya, saya bersyukur kerana dia sudi berlakon," katanya.

Steve berkata, pemergian Adibah adalah satu kehilangan besar buat industri perfileman tanah air.

"Sewaktu berlakon filem ini, dia sebenarnya sudah sakit tetapi tiada siapa yang tahu. Dia sangat profesional walaupun ada babak yang memerlukan dia berjalan banyak kali.

"Tahun lalu, kita semua dapat tahu mengenai sakitnya dan berita pemergiannya. Ia satu kehilangan besar dan dia tak berkesempatan menonton 'first baby' saya ini," katanya.

Berkongsi mengenai filem Adoiii Jiwaku, Steve mengakui masih banyak kekurangan yang perlu diperbaiki. Namun, dia berharap mesejnya dapat diterima penonton.

"Mungkin ada beberapa babak yang dipotong. Jadi, akan ada penonton yang tidak dapat memahami dengan baik mesejnya," katanya.

Menurut Steve, tujuh babak dalam filem itu dipotong Lembaga Penapis Filem (LPF). Namun, ia tidak menjejaskan keseluruhan cerita walaupun ada dialog yang tak boleh dikeluarkan dan sebagainya.

"Kalau diikutkan, ada banyak lagi babak yang saya ingin masukkan, tetapi penerbit tak benarkan. Bagaimanapun, kisah yang dibawa dan ditulis untuk filem ini adalah fakta.

"Ia juga adalah persepsi masyarakat Malaysia. Perkara yang diceritakan dalam filem ini adalah apa yang sering digunakan sesetengah ahli politik iaitu memainkan isu perkauman. Disebabkan itu saya menyampaikannya dengan jalan cerita komedi supaya boleh diterima penonton," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 6:25 AM