ANDY Teh.
ANDY Teh.
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Pelakon Andy Teh, 35, menjelaskan pergaduhan yang membabitkannya hujung minggu lalu tiada kaitan dengan isu perkauman seperti digembar-gembur segelintir pihak.

Andy yang juga pelakon drama bersiri The Maid berkata, dia tampil bersuara berkenaan insiden itu bagi meminta orang ramai berhenti membuat spekulasi liar yang mengaitkan dengan isu perkauman.

"Selepas insiden itu, saya menerima banyak mesej langsung (DM) di Instagram yang mendakwa saya mencetuskan isu perkauman. Tuduhan itu dibuat disebabkan ia berlaku antara dua pihak daripada kaum Cina dan India.

"Saya ingin menegaskan bahawa insiden itu tiada kaitan dengan perkauman. Jadi, tolong hentikan andaian liar kerana saya tidak mahu memanjangkan perkara ini di mata umum.

"Kes itu sudah diserah kepada pihak polis dan biarlah mereka yang mengambil tindakan. Apapun, kepada yang bertanya dan ambil berat mengenai keadaan saya, saya ucapkan terima kasih," katanya.

Perkongsian itu dibuat pelakon terbabit selepas menyahaktif akaun Instagram miliknya baru-baru ini. Berikutan DM liar diterima, dia memutuskan untuk menjelaskan keadaan sebenar.

Terdahulu, Andy mendedahkan dia dan adiknya diserang lebih 10 individu dalam satu kejadian salah faham, baru-baru ini.

Ia tercetus selepas berlaku kemalangan kecil antara rakan adiknya dengan pihak terbabit.

Pelakon itu berkata, dia bergegas ke lokasi bagi melindungi adiknya yang dipukul.

Dia juga turut dipukul menyebabkan dirinya mengalami konkusi dan bengkak pada badan.

Andy yang juga pelakon filem Sangkar dan Wira berkata, dia sudah membuat laporan polis dan setakat ini lima suspek sudah ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 3:55 PM