SYAZWAN dan (gambar kecil) Namewee. FOTO arkib NSTP
SYAZWAN dan (gambar kecil) Namewee. FOTO arkib NSTP
Wartawan Harian Metro

 

Kuala Lumpur: "Jangan ganggu pembuatan filem dan muzik."

Itu luahan pelakon, Syazwan Zulkifly berdasarkan penjelasan dimuat naik penyanyi rap yang juga pengarah filem Babi, Wee Meng Chee atau Namewee di Instagram

Syazwan menerusi hantaran itu berkata, dia mahu industri perfileman tempatan sehebat filem luar.

"Aku nak industri ni maju. Aku nak filem Malaysia segah filem luar. Filem yang gah sebagai contoh filem Bahubali sudah lama sepatutnya kita hasilkan.

"Berilah ruang untuk berkarya. Jangan sempitkan kerja kami. Ini juga alasan kenapa kami terpaksa menghidangkan benda yang sama kepada anda semua. Kreativiti disekat.

"Jangan jadikan filem sebagai mangsa politik. Biar kami buat kerja kami. Hang (kau) buat kerja hang sebagai ahli Politik. 'Please brother,'" katanya.

Hantaran yang memaparkan video Namewee itu turut mendapat pelbagai reaksi daripada rakan artis. Antaranya pelakon, Nabila Huda, Alif Muhaimin, Tash Yong dan ramai lagi.

"Memang tepat dan padat apa yang dia cakap. Thank you for sharing!! Abil rasa sebak dengar all dia punya explaination. So true apa dia cakap!" komen Nabila Huda.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), membuat laporan polis terhadap Namewee berikutan didakwa memalsukan dokumen permit Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) membabitkan filem Babi pada 11 Disember lalu.

Menerusi laporan sama, Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah berkata, pihaknya turut menggesa pihak berkuasa menahan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas Namewee yang menerbitkan filem itu yang didakwa berunsurkan perkauman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 3:18 PM