NAMEWEE ingin sentiasa tampil dengan mesej besar dalam karyanya.
NAMEWEE ingin sentiasa tampil dengan mesej besar dalam karyanya.
Georgie Joseph


Kamus kerjaya seni pengarah dan penyanyi Namewee tidak dinafikan cukup mencabar. Padahal hasratnya cukup murni untuk tampilkan karya yang mampu membuka mata ramai terhadap sesuatu isu.

Demikian itu, Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, 38, ambil keputusan untuk mengembangkan karier di Taiwan pula. Menurutnya, dia perlu persekitaran yang memberikan kebebasan untuknya berkarya.

Berada di Taiwan memberikan kepuasan untuknya merealisasikan setiap idea tercetus baik dalam filem mahupun lagu. Hakikatnya, dia tidak berdepan gangguan sebagaimana diterimanya kalau di sini.

"Sebagai pengkarya kreatif, saya perlukan persekitaran yang terbuka dan bebas. Kalau di Malaysia, banyak sekatan dan halangan serta tak boleh buat macam-macam.

"Banyak sensitiviti perlu dijaga dan ia cukup mengganggu tahap kreativiti saya. Saya keluar lagu menaikkan isu mengenai antiperkauman pun, saya pula dilabel bersifat perkauman.

"Dari segi itu, ramai yang salah faham terhadap diri saya. Apabila sudah membabitkan pihak berkuasa, memang kreativiti saya terganggu," katanya.

Menjelaskan kenapa memilih berpusat di Taiwan, Namewee akui dia gembira bagaimana mentaliti peminat seni di sana menerima karyanya.

Bagaimanapun katanya, setiap produk dihasilkan masih terdapat sentuhan daripada tenaga kerja warga Malaysia sepenuhnya. Segala yang diusahakannya masih dikira produk tempatan.

"Walaupun saya kembangkan karier di sana, tetapi pasukan tulang belakang saya sebenarnya masih berada di Malaysia. Apa pun juga yang saya hasilkan, ia dibantu sepenuhanya pasukan di sini," katanya.

Selepas dihambat pelbagai kontroversi sejak memulakan kerjaya seninya lebih 10 tahun lalu, Namewee bersyukur semakin ramai menerima corak karyanya. Bahkan, ramai memahami apa yang cuba disampaikannya.

"Pada awal dulu mungkin mereka anggap saya cuba cetuskan isu perkauman. Tapi, mereka sudah mula faham dengan cara saya. Mereka tahu apa yang saya cuba sampaikan sebenarnya mesej antiperkauman.

"Sekarang saya menjadi lebih berani kerana khalayak lebih luas. Lebih ramai orang sokong saya contohnya seperti tahun lalu berhubung kes filem Babi itu. Ramai sahaja orang Melayu sokong saya.

"Sebelum ini, orang hentam saya kerana membaca hebahan yang tidak betul mengenai saya padahal saya tak bagi sebarang kenyataan pun," katanya.

Turut menjelaskan mengenai kontroversi filem Babi tahun lalu, Namewee tidak menjangka perkara itu menjadi isu besar di Malaysia. Ia disebabkan filem berkenaan bukan bertujuan dipasarkan di sini.

"Sebenarnya filem Babi bukan untuk tayangan di Malaysia dan saya tak berniat pun tayangkan di sini. Filem itu adalah untuk dipertontonkan di festival filem dan cuma ditayangkan di Taiwan.

"Filem itu pun berkisar perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Mesejnya sama saja sebagaimana filem lain saya yang sentiasa menekankan mengenai keharmonian rakyat kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 6:45 AM