CELOTEH Fizie kini boleh didengar di Molek FM bergandingan dengan Mek Zura. FOTO Aswadi Alias
CELOTEH Fizie kini boleh didengar di Molek FM bergandingan dengan Mek Zura. FOTO Aswadi Alias
Syafil Syazwan Jefri


JIKA sebelum ini, nama Fizie Roslan lebih dikenali sebagai Fizie Hot FM, kini dia lebih dikenali sebagai penyampai stesen radio terbaharu Media Prima Audio (MPA) iaitu Molek FM.

Walaupun sebelum ini Fizie pernah meluahkan hasrat untuk berehat daripada dunia penyampaian radio, namun rasa cintanya terhadap bidang penyiaran tidak pernah padam, sekali gus membuatkannya kembali bersiaran.

"Saya menamatkan kontrak dengan Hot FM pada Julai tahun lalu. Kira-kira enam bulan saya meninggalkan tugas sebagai penyampai radio, kini saya kembali sebagai penyampai di Molek FM," katanya.

Ditanya mengenai waktu berehat selama enam bulan dan perasaannya tatkala menerima tawaran baharu itu, Fizie berkongsi rasa terujanya.

"Sebelum ini saya membuat keputusan untuk berehat kerana ingin memberi tumpuan kepada beberapa perniagaan yang saya jalankan.

"Sepanjang pandemik Covid-19, saya akui banyak urusan perniagaan yang tergendala dan terjejas dan disebabkan itu saya ingin menjadikan perniagaan sebagai keutamaan. Namun, beberapa bulan kemudian saya ditawarkan sebagai penyampai Molek FM," katanya.

Menurut Fizie, salah satu sebab dia bersetuju menerima tawaran untuk menjadi penyampai di Molek FM adalah kerana sahabat karibnya iaitu Mek Zura.

"Walaupun ada beberapa perniagaan saya yang belum boleh dikatakan stabil, saya terima juga tawaran ini kerana Zura adalah sahabat karib yang saya kenali sejak bujang lagi.

FIZIE bergandingan dengan Mek Zura dalam segmen Molek Pagi pada setiap Ahad hingga Khamis, jam 6 hingga 10 pagi. FOTO Aswadi Alias
FIZIE bergandingan dengan Mek Zura dalam segmen Molek Pagi pada setiap Ahad hingga Khamis, jam 6 hingga 10 pagi. FOTO Aswadi Alias

"Walaupun kami sudah saling kenal satu sama lain sejak sekian lama, kami belum pernah bergandingan sebagai penyampai radio," katanya.

Berkongsi mengenai strateginya sebagai penyampai di stesen radio khas untuk pendengar pantai timur itu, Fizie berkata, cara pendekatannya juga berbeza berbanding ketika bertugas di Hot FM.

"Saya memulakan tugas sebagai penyampai radio di stesen radio pantai timur sebelum memulakan tugas di Hot FM Kelate yang juga menyasarkan pendengar dari pantai timur.

"Selepas itu saya ditawarkan untuk menjadi penyampai radio di Hot FM. Dari segi pendekatan, tentunya ada perbezaan ketara kerana di Hot FM cara penyampaiannya lebih kepada kelakar dan lucu manakala di Molek FM pula, cara penyampaiannya lebih santai," katanya.

Fizie juga meminta pendengar dari Kelantan dan Terengganu untuk sama-sama mendengar dan menyokong kehadiran stesen radio baharu ini.

"Harapan saya semoga stesen radio baharu ini mendapat tempat di hati pendengar radio dari Kelantan dan Terengganu. Kami akan sajikan pelbagai maklumat dan hiburan yang dekat kepada pendengar di pantai timur," katanya.

Selain Fizie dan Mek Zura, Molek FM turut membariskan beberapa penyampai lain iaitu Izzul, Kai Hassan dan Mat Dan.

Molek FM boleh didengari menerusi frekuensi 105.1 FM di Kota Bharu dan 93.6 FM di Kuala Terengganu.

Selain itu, pendengar juga boleh mendengarkan Molek FM secara live streaming di www.molekfm.audio atau YouTube Molek TV.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 6:22 AM