MEK Zura kekal identiti galas tanggungjawab penyampai segmen pagi di Molek FM.
MEK Zura kekal identiti galas tanggungjawab penyampai segmen pagi di Molek FM.
Syafil Syazwan Jefri


JATI diri sebagai penyampai radio sentiasa menjadi pegangan Mek Zura yang cukup dikenali dalam kalangan pendengar radio di pantai timur.

Bagi Mek Zura, 38, itu penting untuk memastikan identitinya sebagai penyampai radio berjaya mencangkuk hati pendengar.

Berkesempatan bertemu dan menemu bual Mek Zura yang juga penyampai radio Molek FM baru-baru ini, dia berkongsi pengalamannya dalam dunia penyampaian radio.

"Bagi saya, sebagai penyampai radio, di mana pun kita berkhidmat, kita kena jadi diri kita sendiri. Saya tetap kekalkan jati diri dan identiti saya," katanya.

Menggalas tanggungjawab sebagai penyampai segmen pagi di Molek FM, Mek Zura akan terus mengekalkan identitinya berceloteh dalam dialek Kelantan.

"Di stesen baharu ini, saya akan berceloteh dalam dialek Kelantan. Untuk kelainan, kami akan tonjolkan dari aspek kandungan yang kami sajikan.

"Susunan lagu yang dimainkan juga akan menjadi keutamaan kami bagi membezakan kami dengan stesen radio sedia ada," katanya.

MEK Zura bergandingan dengan Fizie di Molek FM.
MEK Zura bergandingan dengan Fizie di Molek FM.

Berkesempatan bergandingan dengan sahabat karibnya iaitu Fizie Roslan, Mek Zura mengakui bahawa gandingan mereka berjaya mewujudkan 'mood' yang berbeza.

"Pada awalnya, saya tertanya-tanya juga, siapa gandingan saya. Apabila dimaklumkan bahawa gandingan saya adalah Fizie, rasa gemuruh juga memandangkan dia dikenali ramai.

"Apa yang penting adalah bagaimana untuk hasilkan 'mood' terbaik dengan gandingan kita. Memang kena jadi diri sendiri sebab kalau nak jadi 'fake' (palsu), memang takkan bertahan lama," katanya.

Menurutnya, aura yang ada pada Fizie juga adalah aura penyampai yang berkaliber.

"Fizie ada ciri-ciri penyampai yang betul-betul tepat selain suara serta aura. Menjadi penyampai radio, paling penting adalah aura.

"Tak kisah bagaimana popular pun sesuatu stesen, kalau tidak dikendalikan oleh penyampai berkaliber, ia tidak akan maju kerana orang akan bosan," katanya.

Selain Mek Zura dan Fizie, Molek FM turut membariskan beberapa penyampai lain iaitu Izzul, Kai Hassan dan Mat Dan.

Molek FM boleh didengari menerusi frekuensi 105.1 FM di Kota Bharu dan 93.6 FM di Kuala Terengganu.

Selain itu, pendengar juga boleh mendengarkan Molek FM secara live streaming di www.molekfm.audio atau YouTube Molek TV.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 6:48 AM