KUALA LUMPUR 07 JANUARI 2022. Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran (tengah) bersama penyampai Radio Molek Fm pada Majlis Bekwok Santai Molek FM di Oak Hall, Damansara Perdana. FOTO ASWADI ALIAS
KUALA LUMPUR 07 JANUARI 2022. Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran (tengah) bersama penyampai Radio Molek Fm pada Majlis Bekwok Santai Molek FM di Oak Hall, Damansara Perdana. FOTO ASWADI ALIAS
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Media Prima Audio (MPA) hari ini mengumumkan secara rasmi stesen radio terbaru di bawah naungannya Molek FM, Gu Pantai Timur.

Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran berkata, pihaknya meneroka pelbagai idea untuk disajikan di stesen kelima di bawah naungan MPA itu.

"Melalui Molek FM, kami yakin mampu meneroka lebih banyak idea dari pelbagai dimensi yang kreatif untuk pasaran dan pendengar Pantai Timur terutamanya Kelantan dan Terengganu dalam misi untuk meraikan komuniti menerusi gaya hidup, warisan dan tradisi lokal.

"Pastinya impak yang positif diharapkan buat semua pendengar dengan pengisian dan penyampai yang lebih dekat dengan masyarakat Pantai Timur," katanya.

Melalui proses yang mengambil masa tiga bulan sebelum dilancarkan, Nazri berkata, barisan penyampai yang dipilih juga menepati kriteria yang ditetapkan.

"Kriteria yang kami tetapkan adalah semua penyampai Molek FM perlu memiliki pengetahuan mengenai Pantai Timur.

"Seperti yang kita sedia maklum, semangat kenegerian warga Pantai Timur begitu kuat dan pengetahuan dalam kalangan penyampai sangat penting. Kalau mereka sekadar boleh bercakap tanpa pengetahuan, jadi kosong," katanya.

Molek FM juga berjaya menarik bekas penyampai Hot FM, Fizie Roslan yang sebelum ini memilih untuk berehat dari dunia penyampaian radio untuk turut serta.

"Pemilihan Fizie adalah kerana kita sedia maklum kemampuannya sebagai penyampai memandangkan dia sendiri berpengalaman mengendalikan segmen pagi.

"Di Molek FM, kami gandingkannya dengan seorang lagi penyampai berpengalaman iaitu Mek Zura yang cukup dikenali dalam kalangan pendengar dari Pantai Timur," katanya.

Selain Fizie dan Mek Zura, Molek FM turut membariskan beberapa penyampai lain iaitu Izzul, Kai Hassan dan Mat Dan. Molek FM boleh didengari menerusi frekuensi 105.1 FM di Kota Bharu dan 93.6 FM di Kuala Terengganu. Selain itu, pendengar juga boleh mendengarkan Molek FM secara live streaming di www.molekfm.audio atau YouTube Molek TV.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 7:58 PM