Ainal Marhaton Abd Ghani


Kuantan : Molek FM melebarkan sayapnya di Kuantan, Pahang menerusi frekuensi 100.4 FM yang dilancarkan secara rasmi Ahad lalu.

Selepas sembilan bulan beroperasi di Kota Bharu, Kelantan menerusi frekuensi 105.1 dan 93.6 di Kuala Terengganu, Molek FM mendapat pelbagai maklum balas positif terutama dalam kalangan pendengar Pantai Timur.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran berkata, pihaknya yakin Molek FM dengan tagline Gu Pantai Timur mampu menarik minat pendengar melalui gaya hidup, warisan dan tradisi setempat selain memainkan muzik terbaik yang dikenali ramai.

Beliau berkata, Molek FM yang mensasarkan pendengar berusia 18 hingga 39 tahun selain memberi tumpuan kepada pendengar berusia 24 hingga 34 tahun berbeza di segi penyampaiannya apabila menggunakan dialek mengikut negeri masing-masing.

"Penyampai menggunakan bahasa dan loghat setempat, justeru dengan adanya siaran ini, pendengar akan menjadi lebih seronok kerana boleh menggunakan dialek tempat masing-masing ketika berkomunikasi.

"Penyampainya pula berasal dari ketiga-tiga negeri ini yang secara tidak langsung akan memudahkan mereka berbual berama pendengar, " katanya ketika di temui selepas majlis pelancaran Molek FM di sini, semalam.

Majlis diserikan dengan nyanyian artis jemputan Ippo Hafiz dan Scha Rianda.

Dalam itu, Molek FM turut menerima Anugerah Kecemerlangan Dalam Komunikasi Media bagi kategori radio pada Anugerah Perniagaan Keusahawanan Kelantan 2022.

Nazri berkata, itu menunjukkan dalam masa singkat Molek FM berjaya memberi impak positif menerusi kandungan berkualiti dan bertepatan dengan selera pendengar Pantai Timur," katanya.

Katanya, Molek FM juga berjaya mengumpul hampir 300,000 pendengar setiap minggu dan hampir dua juta pendengar setiap minggu menerusi live streaming melalui laman web, YouTube live dan aplikasi Audio+.

"Kita juga berjaya mencapai 50,000 pengikut di Tiktok sekali gus menjadikan Molek FM sebagai radio paling pantas di pantai timur menerusi aplikasi TikTok Malaysia," katanya.

Sementara itu, lima penyampai popular dan pengalaman iaitu Mat Dan, DJ Naz, Mek Zura, Fizi dan Kai serta penyampai radio baru, Kamilia ditugaskan mengendalikan segmen masing-masing pada waktu-waktu ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 12:44 PM
NAZRI Noran pada majlis Pelancaran Molek FM di Rimba By Loft Kuantan. FOTO Farizul Hafiz Awang
NAZRI Noran pada majlis Pelancaran Molek FM di Rimba By Loft Kuantan. FOTO Farizul Hafiz Awang